“The Manipulated”: Ji Chang Wook & Doh Kyung Soo Berentap Dalam Drama Aksi Balas Dendam Terbaharu di Disney+ Hotstar

Disney+ Hotstar bakal mempersembahkan drama aksi Korea terbaharu berjudul “The Manipulated”, yang akan debut pada 5 November 2025 dengan empat episod serentak sebelum diteruskan dua episod setiap minggu hingga penamat mendebarkan pada 3 Disember.

Menggabungkan dua nama besar industri, Ji Chang Wook (The Worst of Evil, Gangnam B-Side) dan Doh Kyung Soo (The Moon, Swing Kids), drama 12 episod ini menjanjikan kisah penuh ketegangan, aksi dan konflik emosi yang mendalam.


Kisah Penuh Dendam & Manipulasi

“The Manipulated” mengisahkan Park Taejoong (Ji Chang Wook), seorang lelaki biasa, gigih dan penyayang yang hidupnya hancur apabila dituduh atas jenayah kejam — rogol dan pembunuhan seorang wanita yang tidak pernah dikenalinya. Akibat fitnah tersebut, dia dijatuhkan hukuman penjara seumur hidup dan segala yang disayanginya lenyap sekelip mata.

Di penjara, Taejoong bertemu seorang banduan lain dengan kisah hampir sama. Dari situlah dia menyedari wujudnya dalang yang sengaja memerangkap orang tidak bersalah. Dibakar dendam, Taejoong bersumpah untuk membalas semula dan menjatuhkan mereka yang bertanggungjawab.


Poster Pertama: Pertarungan Ji Chang Wook vs Doh Kyung Soo

Poster sulung “The Manipulated” menampilkan detik konfrontasi sengit antara Taejoong dan An Yohan (Doh Kyung Soo), lelaki yang dipercayai menjadi dalang utama segala penderitaan Taejoong.

Kontras hitam-putih yang ketara menggambarkan intensiti konflik mereka: Taejoong, dengan wajah penuh amarah, melayangkan tumbukan ke arah Yohan, manakala Yohan menangkis dengan senyuman sinis, membuktikan dia bukanlah lawan mudah.


Barisan Pelakon & Tenaga Kreatif

Selain Ji Chang Wook dan Doh Kyung Soo, drama ini turut dibintangi oleh Kim Jong Soo, Jo Yoon Soo, dan Lee Kwang Soo, yang dijangka menambah lapisan emosi serta sinergi mantap dalam jalan cerita.

Naskhah ini digarap oleh penulis prolifik Korea, Oh Sang Ho (Taxi Driver, Fabricated City), dengan pengarahan oleh Park Sin Woo (The Killing Vote) dan Kim Chang Joo (Hard Hit).


Komen Ji Chang Wook & Doh Kyung Soo

Ji Chang Wook menyifatkan projek ini sebagai “drama balas dendam dengan nada segar dan penuh variasi, sesuatu yang jarang kita lihat kebelakangan ini. Dengan aksi unik, terdapat banyak elemen menarik untuk ditonton, menjadikannya projek yang sangat mengujakan secara visual.”

Doh Kyung Soo pula berkata, “Skripnya sangat menyeronokkan. Perkembangan pantas bersama aksi dan adegan kejar-mengejar membuatkan saya tidak sabar melihat bagaimana semuanya bakal disatukan di layar.”


Eksklusif di Disney+ Hotstar

“The Manipulated” merupakan APAC Original terbaharu Disney+ Hotstar, menyusuli kejayaan drama jenayah Korea popular lain seperti Nine Puzzles, The Worst of Evil, Gangnam B-Side, dan Vigilante.

Jangan lepaskan tayangan perdana empat episod pertama “The Manipulated” bermula 5 November 2025, hanya di Disney+ Hotstar.