5 Tahun Penantian Terbayar, [ALEXANDROS] Gegarkan Malaysia dengan Provoke Asia Tour 2025

Petaling Jaya, 7 Sept — Malam Ahad di Auditorium Bentley Music bagaikan mimpi jadi nyata buat peminat [ALEXANDROS]. Selepas lima tahun menunggu, akhirnya kumpulan rock Jepun kesayangan ramai ini kembali menjejakkan kaki ke Malaysia untuk Provoke Asia Tour 2025. Ramai masih ingat lawatan mereka pada 2018 dan 2019, dan kali ini mereka hadir dengan lebih matang, segar, serta penuh tenaga sempena ulang tahun ke-15 perjalanan muzik mereka dan pelancaran album ke-9, PROVOKE. Walaupun venue ini kecil, suasananya intim hingga aura serta tenaga yang dibawa band ini terasa luar biasa!

Konsert kali ini lebih istimewa kerana ia sebahagian daripada sambutan ulang tahun ke-15 mereka, selain meraikan pelancaran album terbaru PROVOKE yang diluncurkan pada April 2025. Seawal pembukaan tirai, peminat terus disajikan dengan enam lagu baharu termasuk “Koeru (超える)”, lagu tema anime Uma Musume: Cinderella Gray.

Selama dua jam tanpa henti, [ALEXANDROS] bukan sahaja mempersembahkan lagu-lagu baru, malah mengimbau nostalgia dengan hits lama serta OST anime/filem yang pernah melonjakkan nama mereka ke peringkat antarabangsa. Suara lantang Yoohei Kawakami, ditambah permainan gitar, bass dan drum yang padu, membuatkan dewan menjadi meriah. Walaupun ada jurang bahasa, semua orang tetap rasa terhubung — kerana muzik memang bahasa universal.

Kefasihan mereka berbahasa Inggeris turut memudahkan interaksi bersama peminat. Mereka menyampaikan ucapan terima kasih atas sokongan luar biasa dari peminat Malaysia. Yoohei berkongsi bahawa walaupun scene muzik Jepun di Malaysia kecil, Kuala Lumpur sentiasa istimewa dalam sejarah jelajah mereka. Beliau juga memberi bayangan hasrat untuk kembali lagi dengan pentas yang lebih besar pada masa akan datang.

Hiroyuki turut menambah, beliau mahu melihat dewan penuh di venue yang lebih besar, dan berharap jelajah kali ini menjadi batu loncatan untuk konsert berskala mega pada masa hadapan.

Bagi peminat lama, malam itu menjadi kenangan berharga yang mengimbau era konsert mereka terdahulu. Bagi peminat baharu pula, ia menjadi titik mula jatuh cinta dengan muzik [ALEXANDROS]. Apa pun, satu perkara jelas — muzik mereka menyatukan semua orang dalam dewan.

Encore pula ditutup dengan persembahan penuh bertenaga hingga membuatkan peminat enggan pulang. Sorakan tidak berhenti, dan [ALEXANDROS] berjanji akan kembali ke Malaysia. Malam tersebut membuktikan bahawa band ini mempunyai fanbase setia yang teguh menanti mereka.

Berikut senarai penuh lagu yang dimainkan di Malaysia, disusun bagaikan roller coaster vibes — bermula dengan trek baharu dari PROVOKE, kemudian dicampur dengan lagu kegemaran ramai seperti “Girl A”, “Starrrrrr”, dan “ワタリドリ (Wataridori)”.


[ALEXANDROS] Provoke Asia Tour 2025 – Malaysia Setlist

Main Set
01. Boy Fearless
02. we are still kids & stray cats
03. WITH ALL DUE RESPECT
04. Girl A
05. stimulator
06. Kick&Spin
07. Coffee Float
08. EVERYBODY KNOWS
09. Arpeggio (アルペジオ)
10. Mushin Hakusū (無心拍数) – Heartbeat Without Mind / Heartless Pulse
11. todayyyyy
12. Senkō (閃光) – Flash of Light / Glare
13. Backseat
14. FABRIC YOUTH
15. Kinjitō (金字塔) – Pyramid / Monument
 Kinjitō Dr ~ Waitress Dr
16. Waitress, Waitress!
 Waitress Dr ~ Tsunagi (繋ぎ) – Connection / Linking
17. Starrrrrr
18. Koeru (超える) – To Surpass / Go Beyond
19. JULIUS

Encore
20. Amarini mo Sutekina Yoru Dakara (あまりにも素敵な夜だから) – Because It’s Such a Wonderful Night
21. VANILLA SKY
22. Wataridori (ワタリドリ) – Migratory Bird
23. Dracula La
24. Burger Queen

Konsert malam itu membuktikan mengapa [ALEXANDROS] masih relevan selepas lebih sedekad dalam industri — bukan sekadar kerana katalog lagu yang luas, tetapi kerana keupayaan mereka menghubungkan emosi dengan penonton. Dengan sambutan hangat di Kuala Lumpur, tak mustahil Malaysia bakal menjadi salah satu destinasi utama setiap kali [ALEXANDROS] menjelajah Asia pada masa hadapan.