Siri Netflix Aema akhirnya ditayangkan hari ini!
Berlatarbelakangkan Chungmuro tahun 1980-an, Aema ialah drama komedi fiksyen yang mendedahkan sisi getir di sebalik glamor industri filem. Ia mengikuti kisah dua pelakon — Hee Ran (Lee Ha Nee) dan Ju Ae (Bang Hyo Rin) — dalam proses pembikinan filem sensasi Madame Aema, yang pernah mencetus fenomena di Korea Selatan.
Berikut tiga tarikan utama yang buat drama ini wajib ditonton:
1. Nostalgia dengan sentuhan baru
Pengarah Lee Hae Young menghidupkan semula kisah di sebalik Madame Aema dengan cara yang segar. Siri ini bukan sahaja menampilkan persaingan dan cita-cita di Chungmuro era 1980-an, tetapi juga ironi zaman tersebut — ketika filem berunsur erotik popular di pawagam, tetapi undang-undang penapisan masih mengongkong kebebasan.
Menurut pengarah, beliau mahu Aema terasa dekat dengan penonton hari ini, dengan penceritaan dan gaya visual yang moden.
2. Solidariti wanita lawan realiti tidak adil
Aema bukan sekadar kisah seorang bintang filem, tetapi simbol kepada semua wanita yang berdepan prejudis dan salah faham ketika memperjuangkan kehidupan mereka sendiri.
Kisah ini mengangkat dua wanita berbeza — Hee Ran yang awalnya tidak senang dengan pendatang baru Ju Ae, dan Ju Ae yang kagum tetapi enggan tunduk kepada seniornya. Persaingan mereka akhirnya bertukar menjadi persahabatan dan solidariti, ketika bersama-sama melawan tekanan masyarakat yang menindas wanita.
Drama ini menolak stereotaip watak wanita 80-an, lalu menampilkan mereka sebagai individu berani yang menentang ketidakadilan.
3. Barisan pelakon mantap yang hidupkan era
Lee Ha Nee, Bang Hyo Rin, Jin Sun Kyu dan Jo Hyun Chul tampil dengan lakonan bertenaga yang menghidupkan suasana sengit dunia Chungmuro pada era 1980-an.
Lee Ha Nee membawa watak Jeong Hee Ran, seorang bintang besar pada zaman itu. Bang Hyo Rin pula melakonkan Shin Ju Ae, pendatang baru yang secara mengejut dipilih sebagai heroin utama Madame Aema.
Sementara itu, Jin Sun Kyu membawakan Goo Joong Ho, ketua syarikat produksi di sebalik filem tersebut, manakala Jo Hyun Chul memegang watak Kwak In Woo, seorang pengarah muda yang baru membuat debutnya dengan Madame Aema.
Kesemua watak dengan cita-cita berbeza ini menjadikan konflik dan emosi dalam drama lebih kuat dan penuh warna.
Dengan gabungan kisah satira, lakonan yang kuat dan suasana era 80-an yang penuh warna, Aema bukan hanya membawa penonton bernostalgia, tapi juga mengingatkan kita tentang perjuangan suara wanita dan kebebasan berkarya pada masa itu. Drama ini pasti jadi pilihan menarik di Netflix untuk anda yang suka jalan cerita penuh warna — ada humor, ada konflik, dan ada mesej yang menyentuh hati.