Hujan Bukan Halangan: Moon Ga-young & Lee Jong Suk Disambut Meriah di Red Carpet Law and the City, Pavilion KL!

Kuala Lumpur, 10 Ogos 2025 – Ribuan peminat membanjiri ruang masuk utama Pavilion Kuala Lumpur sempena acara red carpet Law and the City yang menampilkan dua bintang Korea Selatan popular, Moon Ga-young dan Lee Jong Suk.

Walaupun hujan sejak pagi, semangat peminat tidak pernah luntur. Ada yang sanggup menunggu seawal jam 10 pagi, meskipun acara rasmi hanya bermula sekitar 7.30 malam. Suasana di hadapan Pavilion begitu meriah dengan sorakan dan laungan nama kedua-dua pelakon setiap kali kelibat mereka ditayangkan di skrin besar.

Ketibaan Moon Ga-young dan Lee Jong Suk disambut dengan meriah. Moon Ga-young tampil anggun dengan gaun hitam elegan, manakala Lee Jong Suk mempesona dengan sut moden yang terserlah karismanya. Pasangan pelakon utama drama Law and the City itu meluangkan masa melambai, tersenyum, malah sempat memberi tanda tangan serta bergambar bersama beberapa peminat bertuah.

Dalam sesi ringkas bersama peminat, Moon Ga-young meluahkan rasa terharu dengan sambutan luar biasa yang diterimanya. “Saya tidak sangka ramai peminat sanggup menunggu sejak pagi walaupun hujan. Terima kasih Malaysia, saya sangat gembira dapat bersama anda malam ini,” katanya sambil tersenyum manis.

Lee Jong Suk pula tidak ketinggalan mengucapkan rasa syukur kerana berpeluang kembali ke Malaysia. “Sudah lama saya ingin bertemu peminat di Kuala Lumpur. Sokongan anda benar-benar bermakna untuk kami. Saya janji akan kembali lagi,” ucapnya yang disambut dengan sorakan gemuruh peminat.

Acara yang diadakan di pintu masuk utama Pavilion ini turut menampilkan sesi bergambar rasmi bersama pihak media, diikuti temu ramah ringkas mengenai pengalaman mereka membintangi drama tersebut.

Red carpet malam itu menjadi bukti keakraban peminat Malaysia dengan bintang K-drama. Hujan renyai tidak mematahkan semangat mereka, malah menjadikan detik indah bersama Moon Ga-young dan Lee Jong Suk lebih bermakna.

Terima kasih kepada pihak tvN Asia dan Astro yang telah merealisasikan impian peminat Moon Ga-young dan Lee Jong Suk di Malaysia. Kami juga ingin mengucapkan terima kasih atas peluang kepada KMania untuk merakamkan momen indah bersama Ga-young dan Lee Jong Suk.

Jangan lupa untuk Follow dan Like KMania di FacebookTwitterInstagram , TikTok dan Youtube untuk tonton lebih banyak lagi video Ga-young dan Lee Jong Suk di Pavillion Kuala Lumpur dan untuk mendapatkan lebih banyak perkembangan terkini tentang dunia hiburan Korea.