Shin Hye Sun, Gong Myoung, Kim Jae Wook dan Hong Hwa Yeon bakal membintangi drama terbaharu tvN berjudul Secret Audit (tajuk terjemahan literal)!
Secret Audit merupakan drama romantik komedi yang mengisahkan tentang Joo In Ah (lakonan Shin Hye Sun), seorang pengarah audit yang menyimpan rahsia besar, serta Noh Ki Joon (lakonan Gong Myoung), seorang pekerja cemerlang dalam jabatan audit yang tiba-tiba diturunkan pangkat untuk menyiasat salah laku dalaman syarikat.
Drama ini diarahkan oleh Lee Soo Hyun, yang pernah mengarah My Dearest Nemesis dan Delightfully Deceitful, manakala skripnya ditulis oleh Yeo Eun Ho (Crash Course in Romance). Penulis terkenal Yang Hee Sung (Crash Course in Romance, Familiar Wife, Weightlifting Fairy Kim Bok-joo) juga terlibat sebagai pencipta asal.
Shin Hye Sun membawakan watak Joo In Ah, ketua jabatan audit yang sangat tegas dan digeruni kerana tidak bertolak ansur dengan kesilapan. Dia pantas menyingkirkan sesiapa sahaja yang melanggar peraturan atau mencabar arahannya. Sebagai eksekutif wanita termuda yang pernah dilantik, hidup Joo In Ah mula jadi kelam-kabut apabila dia perlu bekerja rapat dengan Noh Ki Joon — orang yang dipilihnya sendiri untuk menyelesaikan kes-kes salah laku dalam syarikat.
Shin Hae Sun berkongsi, “Saya benar-benar teruja menantikan projek ini. Saya akan buat persiapan sebaik mungkin dan muncul dengan lakonan terbaik.”
Gong Myoung pula melakonkan watak Noh Ki Joon, seorang pegawai audit yang hebat dari segi kepintaran, fizikal dan rupa paras. Hidupnya yang sebelum ini lancar berubah apabila Joo In Ah muncul dalam hidupnya. Akibatnya, dia diturunkan dari Pasukan Audit 1 ke Pasukan Audit 3 yang sering berdepan masalah dalaman.
Kata Gong Myoung, “Saya rasa amat berbesar hati dapat menyertai Secret Audit. Nantikan sisi berbeza daripada saya kali ini dan terus beri sokongan.”
Kim Jae Wook membawa watak Jeon Jae Yeol, seorang pewaris generasi ketiga keluarga kaya yang kelihatan sempurna di luar tetapi menyembunyikan kekosongan dalam dirinya. Demi perebutan kuasa dalam keluarga, dia memilih untuk mengutamakan realiti berbanding cinta.
Katanya, “Saya harap drama ini boleh menghiburkan penonton dalam setiap episod. Saya akan buat persediaan rapi untuk watak ini.”
Hong Hwa Yeon pula memainkan watak Park Ah Jeong, setiausaha peribadi kepada Jeon Jae Yeol di Haemoo Group. Walaupun memiliki rupa paras menawan, dia merasakan kecantikannya sering menyusahkan dan hidup dalam dunia tertutup — sehinggalah dia jatuh cinta buat kali pertama, secara diam-diam.
Hong Hwa Yeon berkata, “Saya sedang berusaha keras untuk menampilkan pelbagai sisi watak Park Ah Jeong agar lebih menarik. Saya ingin muncul dengan versi diri saya yang lebih baik.”
Drama Secret Audit kini sedang dalam proses penggambaran dan dijangka ditayangkan pada tahun 2026.
Sumber : 1