Pelakon Korea Selatan, Song Young Kyu, yang dikenali ramai menerusi watak Ketua Choi dalam filem box office Extreme Job, telah meninggal dunia pada usia 52 tahun.
Pada pagi 4 Ogos 2025, pihak polis mengesahkan bahawa beliau ditemui tidak sedarkan diri di dalam sebuah kereta yang diparkir di kawasan kediaman di Yongin, wilayah Gyeonggi. Mayat beliau ditemui sekitar jam 8 pagi waktu Korea oleh seorang kenalan yang kemudian menghubungi pihak berkuasa. Tiada sebarang nota atau tanda-tanda mencurigakan ditemui di lokasi, dan polis menyatakan bahawa tiada unsur jenayah dikesan.
Pihak berkuasa kini sedang menyiasat punca sebenar kematian, termasuk kemungkinan untuk menjalankan bedah siasat, serta menyoal ahli keluarga untuk mendapatkan gambaran lebih jelas mengenai keadaan akhir mendiang.
Pemergian Song Young Kyu berlaku hanya beberapa minggu selepas beliau terpalit dengan isu undang-undang. Pada 19 Jun lalu, beliau ditahan kerana memandu di bawah pengaruh alkohol sejauh kira-kira 5 kilometer di sekitar rumahnya di Yongin. Kes tersebut kemudian dirujuk kepada pihak pendakwa raya. Apabila kes ini didedahkan kepada umum sebulan kemudian, beliau telah menarik diri daripada pementasan teater Shakespeare In Love. Beberapa produksi lain turut mengambil tindakan untuk menyunting babak lakonannya.
Susulan berita duka ini, dua drama terkini lakonannya, The Winning Try (SBS) dan The Defects (ENA), telah mengeluarkan kenyataan rasmi.
Pihak produksi drama The Winning Try berkata:
“Kami mengucapkan takziah yang paling mendalam atas pemergian mendiang dan mendoakan agar beliau bersemadi dengan tenang. Kami juga menyampaikan simpati tulus kepada keluarga yang ditinggalkan.”
Mereka turut menjelaskan:
“The Winning Try ialah drama pra-rakaman. Kecuali episod yang telah dihantar ke platform global, suntingan hanya dilakukan secara minimum dalam episod kemudian, tanpa menjejaskan jalan cerita utama.”
Manakala pasukan produksi The Defects turut menyatakan:
“Kami menyampaikan ucapan takziah yang tulus dan mendoakan agar mendiang bersemadi dengan tenang.”
Mereka memaklumkan bahawa kesemua episod drama itu telah siap sepenuhnya dan tiada perubahan tambahan akan dilakukan.
Dalam drama The Winning Try, Song Young Kyu membawakan watak Kim Min Joong, seorang jurulatih ragbi yang bersaing dengan watak lakonan Yoon Kye Sang. Dalam The Defects, beliau memegang peranan sebagai Yoon Se Hoon, seorang pastor gereja mega yang terpalit skandal rasuah.
Pemergian Song Young Kyu merupakan satu kehilangan besar dalam industri lakonan Korea. Beliau dikenali sebagai pelakon berpengalaman yang sering meninggalkan kesan mendalam melalui watak sampingan yang kuat dan berkarisma. Salam takziah diucapkan kepada seluruh keluarga, serta sahabat Yoon Se Hoon.