Ma Dong Seok, Seo In Guk & Lain-lain Bersatu Lindungi Dunia Dari Kejahatan Park Hyung Sik Dalam Drama Superhero “Twelve”

Drama adiwira Korea yang dinanti-nantikan, “Twelve”, telah mendedahkan beberapa foto terbaru yang memperlihatkan barisan malaikat pelindung dan penjahat utamanya!

Diilhamkan daripada konsep 12 haiwan zodiak Timur, “Twelve” mengisahkan 12 malaikat yang hidup dalam dunia manusia dengan bentuk fizikal manusia. Suatu ketika dahulu, mereka pernah menyelamatkan Semenanjung Korea daripada roh-roh jahat dengan mengorbankan diri untuk memeterai kuasa jahat ke dalam pintu neraka, sekaligus membawa keamanan. Namun, apabila roh-roh jahat itu kembali bangkit, kekacauan mula menguasai dunia semula.

Antara foto yang didedahkan menampilkan Tae San (lakonan Ma Dong Seok), ketua para malaikat yang mewakili kekuatan harimau. Berpakaian lengkap dengan elemen yang menyerupai keberanian harimau, aura Tae San kelihatan cukup garang dan menggerunkan.

Dalam satu lagi foto, watak antagonis Ogui (Park Hyung Sik) muncul dengan aura menakutkan ketika merancang untuk menghancurkan dunia menggunakan batu jiwa, menambahkan ketegangan kepada kisah yang bakal dirungkai.

Turut dipertontonkan ialah para malaikat yang lain termasuk Won Seung (Seo In Guk), Mir (Lee Joo Bin), Do Ni (Go Kyu Pil), Gang Ji (Kang Mina), Jwi Dol (Sung Yoo Bin), Mal Sook (Ahn Ji Hye), dan Bang Wool (Regina Lei) — kesemuanya bersatu di sisi Tae San untuk melindungi dunia manusia daripada kegelapan.

Satu lagi gambar memaparkan Ma Rok (Sung Dong Il), penyelia kepada para malaikat, sedang termenung dengan wajah serius sambil memegang loketnya. Adegan ini menimbulkan persoalan tentang cabaran yang bakal dihadapi oleh lapan malaikat yang masih kekal dalam dunia manusia.

Set foto turut memperlihatkan bahagian dalaman Angel Capital, markas utama para malaikat yang dikendalikan oleh Tae San dan pasukannya. Sebuah plak dengan tulisan “Berbakti untuk seluruh manusia” menegaskan misi para malaikat dalam melindungi dunia.

Gambar terakhir menampilkan Ogui yang sedang merenung ke arah bandar yang gelap dan dingin — setelah dilepaskan daripada meterai selama ribuan tahun, niat sebenar Ogui masih menjadi tanda tanya.

“Twelve” merupakan drama lapan episod yang dijadualkan tayangannya pada 23 Ogos 2025 dan juga boleh distrim di Disney+ Hotstar.

Sumber : 1