Lee Ha Nee, Bang Hyo Rin, Jin Sun Kyu & Cho Hyun Chul Bintangi Drama Baharu “Aema” – Bongkar Kisah Di Sebalik Filem Sensasi 1980-an!

Drama terbaharu Netflix, “Aema”, telah mendedahkan beberapa gambar baharu watak utama!

Berlatarbelakangkan Chungmuro pada era 1980-an, “Aema” merupakan sebuah drama fiksyen bergenre komedi yang menyelami sisi gelap dan realiti kejam di sebalik dunia glamor industri perfileman Korea. Kisahnya mengangkat perjuangan dan kejayaan dua pelakon wanita — Hee Ran (lakonan Lee Ha Nee) dan Joo Ae (Bang Hyo Rin) — sewaktu penggambaran filem “Madame Aema”, sebuah filem dewasa yang mencetus fenomena besar di Korea Selatan pada awal tahun 1980-an.

Foto-foto terbaharu yang dikongsikan memberi gambaran awal terhadap pelbagai karakter yang terlibat dalam proses pembikinan filem tersebut.

Lee Ha Nee membawa watak Jung Hee Ran, seorang pelakon hebat yang memancarkan aura bintang era 80-an dengan gaya elegan dan aksesori bergaya. Hee Ran merupakan aktres tersohor yang pernah memenangi anugerah Pelakon Wanita Terbaik di festival filem antarabangsa, namun menolak tawaran membintangi “Madame Aema” kerana enggan lagi melakonkan watak-watak berunsur provokatif.

 

Berkongsi tentang wataknya, Lee Ha Nee berkata, “Dia seorang wanita berkelas yang sangat berpendirian. Saya nak pastikan karismanya tetap menyerlah walaupun dia hanya berdiri diam.”

Bang Hyo Rin pula membintangi watak Shin Joo Ae, seorang pelakon baharu tanpa sebarang pengalaman yang tiba-tiba dipilih untuk memegang watak utama. Stills yang memperlihatkan penampilannya yang polos serta satu adegan menunggang kuda di tepi pantai memberi bayangan kepada transformasinya yang berani sebagai watak utama dalam “Madame Aema”.

Bang Hyo Rin menggambarkan Joo Ae sebagai “seorang yang berani, yakin dengan diri sendiri, dan punya prinsip yang kukuh.”

Jin Sun Kyu melakonkan watak Goo Joong Ho, ketua syarikat produksi Shinsung Film yang menghasilkan “Madame Aema”. Joong Ho digambarkan sebagai individu bercita-cita tinggi dalam dunia filem Chungmuro yang penuh persaingan, dan sanggup lakukan apa sahaja demi kejayaan. Pandangannya yang tajam dalam stills mencerminkan obsesi terhadap wang dan kejayaan box office.

Jin Sun Kyu berkata, “Dia memang cintakan dunia filem… tapi pendekatannya sangat didorong oleh duit.”

Sementara itu, Cho Hyun Chul tampil sebagai Kwak In Woo, seorang pengarah baharu yang pertama kali mengarahkan filem menerusi “Madame Aema”. Penuh semangat dan idealisme, dia bercita-cita menghasilkan karya yang mencerminkan visi dan falsafah peribadinya. Salah satu still memperlihatkannya tenggelam dalam timbunan skrip sambil sibuk menyiapkan naskhah — membuatkan penonton tertanya-tanya sama ada dia mampu merealisasikan impian besarnya itu.

Cho Hyun Chul menyifatkan Kwak In Woo sebagai “seorang yang sering ditolak, sangat pemalu, tapi menyimpan cita-cita tinggi — yang kadang-kadang buat dia rasa kecewa dan ragu dengan diri sendiri.”

Poster Teaser “Aema” Tampilkan Dua Bintang Berani Di Tengah Era Filem Dewasa 80-an

Poster teaser drama baharu Netflix, “Aema”, telah mencuri perhatian ramai apabila memperlihatkan dua watak utama — bintang terkenal Hee Ran (lakonan Lee Ha Nee) dan pendatang baharu yang sedang naik, Joo Ae (Bang Hyo Rin) — berdiri berlatarbelakangkan sebuah teater dengan paparan tajuk filem sensasi 1980-an, “Madame Aema.”

Sorotan pada ekspresi wajah, gaya solekan, serta pakaian dua watak ini menonjolkan perbezaan ketara personaliti mereka, sekali gus membangkitkan rasa ingin tahu penonton terhadap jalan cerita yang bakal mereka lakarkan bersama. Dinamika yang berbeza inilah yang dijangka menjadi tarikan utama drama ini.

Tagline poster yang berbunyi, “1981, masa untuk bongkar segalanya dan tentang sistem yang menindas,” menambahkan lagi elemen misteri dan provokasi. Ia menggambarkan bagaimana dua wanita ini — yang enggan tunduk kepada kuasa lelaki serta ketidakadilan sistem — memilih untuk bangkit dan melawan dengan cara mereka sendiri.

Drama “Aema” dijadualkan tayangannya pada 22 Ogos ini. Jangan lupa saksikan kisah dunia perfileman yang penuh liku ini, hanya di Netflix!

Sumber :  1