Drama aksi baharu Netflix berjudul “Trigger” telah pun memulakan tayangannya pada 25 Julai, pasukan produksi dan barisan pelakonnya berkongsi tiga sebab utama kenapa anda tidak patut lepaskan drama ini.
“Trigger” mengisahkan sebuah Korea Selatan yang tiba-tiba berdepan gelombang penyeludupan senjata api, walaupun negara tersebut terkenal dengan undang-undang kawalan senjata yang sangat ketat. Cerita ini mengikuti dua lelaki yang memegang senjata atas sebab peribadi mereka sendiri dalam usaha memerangi peningkatan jenayah bersenjata.
Kim Nam Gil membawa watak Lee Do, seorang anggota polis yang pernah menjadi penembak tepat tentera, kini kembali menggunakan senjata demi keadilan. Kim Young Kwang pula memegang watak Moon Baek, lelaki misteri yang membantu Lee Do tetapi menyimpan rahsia tersendiri.
Berikut 3 sebab kenapa anda perlu tonton “Trigger”:
1. Jalan cerita unik dan mencetus persoalan
Sejak teaser pertamanya dilancarkan, premis drama ini telah menarik perhatian ramai. Dalam sebuah negara seperti Korea Selatan yang mengharamkan pemilikan senjata api, idea senjata dihantar terus ke depan pintu rumah seperti bungkusan biasa telah mencetuskan rasa ingin tahu yang tinggi dalam kalangan penonton.
Kim Nam Gil berkata, “Cerita ini terasa sangat segar dan luar biasa. Ia bukan sekadar kisah tentang senjata, tetapi bagaimana manusia bertindak dalam keadaan genting. Ia menyentuh soal nilai kemanusiaan dan struktur sosial.”
Pengarah Kwon Oh Seung menyifatkan “Trigger” sebagai kisah yang “ramai orang pernah bayangkan.” Drama ini mengajak kita berfikir — apa yang berlaku bila keselamatan hilang, dan sejauh mana manusia sanggup pergi untuk melindungi sesuatu?
2. Gandingan mantap Kim Nam Gil dan Kim Young Kwang
Satu lagi tarikan utama drama ini adalah gabungan hebat dua pelakon lelaki yang terkenal dengan watak-watak aksi mereka.
Kim Nam Gil memegang watak Lee Do, seorang pegawai polis yang memahami bahaya sebenar senjata dan menggunakannya dengan penuh tanggungjawab. Babak aksinya lebih tenang tapi tetap mencengkam kerana dilakonkan dengan emosi yang mendalam.
Kim Young Kwang pula tampil berbeza daripada kebiasaannya menerusi watak Moon Baek, seorang individu yang nampak bersahaja tetapi menyimpan banyak rahsia. Dinamik mereka bermula selepas satu insiden di lokasi jenayah dan dari situ, mereka mula berganding bahu.
Walaupun ini kali pertama mereka bekerjasama, kedua-duanya berjaya mencipta keserasian yang kuat.
Kim Nam Gil berkata, “Young Kwang betul-betul faham perkembangan wataknya, jadi saya pun dapat selami watak saya dengan lebih mendalam.”
Kim Young Kwang menambah, “Kim Nam Gil kekalkan konsistensi wataknya, jadi saya dapat memberi reaksi yang semula jadi sepanjang penggambaran.”
3. Kisah ‘trigger’ setiap watak & aksi yang realistik
Drama ini bukan hanya tertumpu pada dua watak utama, tetapi juga memaparkan pelbagai individu yang terpaksa mengambil senjata kerana sebab-sebab tersendiri. Setiap episod akan merungkai sebab mereka — atau ‘trigger’ yang mendorong tindakan mereka.
Pengarah Kwon Oh Seung menjelaskan, “Kami cuba jadikan setiap kisah terasa dekat dengan penonton. Mereka yang memegang senjata ini bukan orang luar biasa — tapi orang biasa seperti kita.”
Tambahan pula, aksi dalam “Trigger” disesuaikan dengan keadaan dan emosi watak, bukan sekadar aksi kosong. Ia menjadikan babak tembak-menembak lebih realistik dan menyentuh hati.
Kim Nam Gil menyimpulkan, “Setiap episod akan menunjukkan kenapa seseorang memilih untuk ambil senjata. Itulah intipati sebenar drama ini.”
Kim Young Kwang pula menambah, “Dalam cerita ini, senjata tersebar macam virus. Tapi keputusan untuk tarik picu, itu terletak di tangan manusia.”
Jangan lupa untuk tonton “Trigger” hanya di Netflix.
Sumber : 1