Kuala Lumpur, 21 Julai 2025 – Ikon muzik global dan legenda K-pop, G-DRAGON, telah menggegarkan Axiata Arena, Bukit Jalil dengan dua malam persembahan epik pada 19 dan 20 Julai 2025, sempena G-DRAGON 2025 WORLD TOUR [Übermensch]. Konsert yang sold out ini dihadiri lebih 20,000 peminat dari Malaysia dan seluruh Asia Tenggara, yang sekian lama menantikan kemunculan semula idola mereka di tanah air.
Dianjurkan oleh AEG Presents, TME Live, Star Planet, dan Top Top Production, dengan kerjasama Hong Leong Bank, konsert ini menampilkan pengalaman audio-visual bertaraf antarabangsa — mempersembahkan elemen artistik G-DRAGON yang unik dan terus berevolusi. Persembahan selama dua malam itu sarat dengan tenaga luar biasa, naratif peribadi, serta visual sinematik yang menyentuh emosi penonton.
G-DRAGON membuka tirai konsert dengan lagu penuh impak, “POWER”, dan seterusnya membawakan lagu-lagu ikonik seperti “Crooked”, “Crayon”, “Heartbreaker”, dan “One of a Kind”, selain memperkenalkan karya terbaharu seperti “TOO BAD” dan “DRAMA”. Tema utama konsert, Übermensch, mengangkat kisah penjelmaan semula, kebebasan artistik dan kekuatan dalaman — sebuah naratif mendalam yang disampaikan melalui muzik dan visual..
Reka bentuk pentas futuristik, pencahayaan imersif, dan kesan visual memukau menjadikan konsert ini sebuah persembahan multi-deria yang mengasyikkan. G-DRAGON turut memukau hadirin dengan penampilan fesyen avant-garde yang memperkukuh statusnya sebagai ikon gaya global.
Detik emosional memuncak sewaktu lagu penutup, “Untitled, 2014”, dipersembahkan — seluruh arena diterangi cahaya lembut daripada peminat yang menyanyi bersama, mencipta momen penuh makna yang pasti diingati.
Sepanjang konsert, G-DRAGON berinteraksi dengan peminat menggunakan bahasa Inggeris tanpa bantuan penterjemah, dan turut mencuba beberapa frasa dalam bahasa Melayu. Walaupun jelas beliau mengalami sedikit kesukaran, usaha tersebut amat dihargai dan menyentuh hati peminat tempatan.
Menambah keterujaan, G-DRAGON turut mengumumkan bahawa kumpulan BIG BANG bakal bersatu semula, dan sedang merancang konsert jelajah dunia pada tahun hadapan. Pengumuman ini disambut dengan sorakan penuh emosi oleh peminat setia yang amat merindui kemunculan semula mereka. Persoalannya kini — adakah Malaysia akan tersenarai sebagai destinasi jelajah itu? Para peminat pastinya berharap agar konsert akan diadakan di lokasi lebih besar seperti Stadium Nasional Bukit Jalil, demi menampung jumlah peminat yang lebih ramai.
Pihak Kmania ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Star Planet atas jemputan menyaksikan persembahan hebat legenda K-pop, G-DRAGON — satu pengalaman yang tidak akan dilupakan.