Polis Serbu Pejabat HYBE Selepas Pengerusi Bang Si Hyuk Dituduh Terlibat Dalam Penipuan Dagangan Saham

Polis kini sedang menjalankan operasi serbuan dan rampasan dokumen di syarikat hiburan HYBE berikutan tuduhan penipuan dagangan saham melibatkan pengerusi syarikat, Bang Si Hyuk.

Pada 24 Julai, Unit Siasatan Jenayah Kewangan dari Agensi Polis Metropolitan Seoul memaklumkan bahawa mereka memulakan operasi tersebut pada jam 9 pagi di ibu pejabat HYBE yang terletak di daerah Yongsan, Seoul.

Bang Si Hyuk disyaki telah melanggar Akta Pasaran Modal dengan menyampaikan maklumat palsu kepada pelabur sedia ada, termasuk syarikat modal teroka (venture capital), semasa proses tawaran awam permulaan (IPO) HYBE pada tahun 2019.

Menurut dakwaan, Bang Si Hyuk ketika itu menafikan bahawa HYBE akan disenaraikan di pasaran saham, menyebabkan pelabur menjual saham mereka kepada sebuah syarikat khas (SPC) yang ditubuhkan oleh dana pelaburan persendirian (private equity fund). Namun selepas itu, HYBE tetap meneruskan IPO.

Sebelum ini, Jawatankuasa Penyiasatan Pasaran Modal (CMIDC) melaporkan bahawa Bang Si Hyuk bersama tiga eksekutif kanan dan seorang pembantu dipercayai menubuhkan dana pelaburan persendirian tersebut, dan beliau didakwa mendapat keuntungan sekitar 200 bilion won (lebih kurang RM530 juta atau USD146 juta).

Polis memohon waran geledah terhadap ibu pejabat HYBE pada 17 Julai lalu. Namun, pada 21 Julai, timbul pertikaian tentang pihak berkuasa mana yang berhak menjalankan siasatan, apabila Pejabat Pendakwa Raya Daerah Selatan Seoul menyerahkan kes itu kepada Polis Kehakiman Khas di bawah Selia Kewangan Korea (FSS). Kini, dengan polis memulakan serbuan, ada kemungkinan mereka akan mengambil alih siasatan sepenuhnya.

Sumber : 1 | 2 | 3