Lee Jong Suk & Moon Ga Young Akan Menghadiri Tayangan Episod Akhir “Law and The City” di Malaysia

Para peminat drama Korea “Law and The City” bakal disajikan dengan kejutan istimewa apabila dua teraju utamanya, Lee Jong Suk dan Moon Ga Young, akan menghadiri acara tayangan episod akhir bersama peminat di Malaysia pada 10 Ogos 2025 (Ahad).

Acara istimewa ini dianjurkan berikutan sambutan luar biasa terhadap drama tersebut bukan sahaja di Korea, tetapi juga di peringkat antarabangsa. Malaysia dilaporkan menjadi salah satu pasaran paling aktif di Asia, mendorong tvN Asia untuk membawa pengalaman ini terus kepada peminat. Seramai lebih 1,000 peminat tempatan dijangka hadir untuk menyaksikan episod penutup bersama kedua-dua pelakon utama tersebut. Satu sidang media khas juga dirancang sempena acara ini.

Jarang sekali episod akhir drama Korea ditayangkan di luar negara bersama pelakonnya, dan acara ini menunjukkan betapa kuatnya sambutan peminat terhadap “Law and The City” dan populariti Lee Jong Suk di peringkat antarabangsa.


Tentang Drama “Law and The City”

Berlatar di daerah undang-undang Seocho, yang padat dengan firma guaman dan pejabat perundangan, Law and The City mengikuti lima peguam bersekutu yang berulang-alik ke tempat kerja setiap hari, sambil berhadapan tekanan tinggi, dilema moral dan persoalan tentang makna kejayaan sebenar dalam profesion guaman.

Sebagai peguam bergaji di peringkat pertengahan firma, mereka berdepan tekanan kerja, konflik peribadi dan ketidakpastian masa depan kerjaya. Dalam dunia undang-undang yang menuntut ketelitian logik dan prinsip yang teguh, mereka berusaha mengekalkan hubungan sesama rakan sekerja dan mencari makna dalam tugas harian mereka — semuanya di tengah hiruk-pikuk Seocho.

Selain Lee Jong-suk dan Moon Ga-young, drama ini turut dibintangi oleh Kang You-seok, Ryu Hye-young, dan Im Seong-jae. Ia mula ditayangkan pada 6 Julai 2025 di tvN Asia, dan bersiaran setiap Ahad dan Isnin. Berdasarkan data Nielsen Korea, drama ini bermula dengan rating 4.6%, dan melonjak kepada 6.1% menjelang episod ke-6 — mencatatkan pencapaian tertinggi setakat ini dengan enam episod berbaki sebelum tamat.


Tayangan Khas Episod Akhir “Law and The City” di Malaysia!

Bersama Lee Jong Suk & Moon Ga Young
📅 10 Ogos 2025 (Ahad)
Masa & lokasi akan diumumkan
📲 Info lanjut & pendaftaran: Ikuti media sosial rasmi tvN Asia


Jangan lepaskan peluang eksklusif ini untuk menyaksikan sendiri bintang kegemaran anda dan berkongsi detik akhir drama bersama peminat lain! Sudah bersediakah anda untuk bertemu Lee Jong-suk dan Moon Ga-young di Malaysia? Untuk makluman, drama ini turut ditayangkan di platform Disney+ Hotstar.

Sumber : 1