Taeil Dipenjara Berhubung Kes Serangan Seksual

Amaran: Kandungan berkaitan serangan seksual

Taeil telah dijatuhkan hukuman penjara selepas perbicaraan pertamanya.

Pada 18 Jun lalu, pihak pendakwa meminta hukuman penjara selama 7 tahun untuk Taeil dan dua rakannya, Encik Lee dan Encik Hong, atas tuduhan merogol wanita dalam keadaan tidak berdaya.

Pada 10 Julai, Mahkamah Daerah Pusat Seoul menjatuhkan hukuman penjara 3 tahun 6 bulan kepada Taeil dan dua tertuduh lain. Mereka juga diarahkan menghadiri 40 jam kelas pendidikan berkaitan jenayah seksual dan dilarang bekerja di tempat melibatkan kanak-kanak atau remaja selama 5 tahun.

Mahkamah berkata, “Ketiga-tiga tertuduh mengaku bersalah. Mangsa ketika itu tidak sedarkan diri kerana mabuk, dan kejadian berlaku di rumah Encik Lee. Mangsa, seorang pelancong asing, mengalami trauma emosi kerana kejadian berlaku di tempat yang asing baginya.” Mahkamah bagaimanapun mengambil kira bahawa ini adalah kesalahan pertama mereka dan mangsa tidak mahu meneruskan tindakan undang-undang.

Peguam Taeil sebelum ini merayu agar hukuman diringankan kerana Taeil telah mengemukakan surat pengakuan. Namun mahkamah menolak rayuan itu dan berkata pengakuan itu dibuat selepas polis membuat serbuan, jadi ia bukanlah penyerahan diri secara sukarela.

Ketika ditanya hakim sama ada mereka mahu berkata apa-apa tentang penahanan, Taeil tidak memberikan sebarang respon.

Kes ini berkaitan kejadian pada Jun tahun lalu, di mana Taeil dan rakannya didakwa melakukan serangan seksual terhadap seorang wanita asing yang tidak sedarkan diri kerana mabuk. Taeil sebelum ini dibicarakan tanpa ditahan, tetapi ditahan selepas hukuman dijatuhkan.

Sumber : 1 |