Peluang keemasan kini terbuka buat gadis-gadis muda berbakat yang bercita-cita menjadi bintang pentas. Kumpulan idola terkenal Jepun, AKB48, kini membuka tirai ujibakat untuk mencari ahli baharu kumpulan adik mereka di Kuala Lumpur, iaitu KLP48.
Ujibakat Generasi Kedua KLP48 yang dinamakan “BLOOM” secara rasmi dilancarkan di Malaysia susulan kejayaan luar biasa yang dicapai oleh KLP48 sejak penubuhannya setahun yang lalu.
Kejayaan KLP48 bukan sahaja mendapat sambutan hangat dalam negara, malah turut menarik perhatian peminat di Jepun apabila beberapa anggotanya dijemput membuat persembahan khas di sana.
Sesi ujibakat ini terbuka kepada semua gadis berusia antara 13 hingga 23 tahun, tanpa mengira kewarganegaraan. Ini merupakan peluang unik untuk memulakan kerjaya sebagai idol di bawah naungan AKB48, yang kini memasuki tahun ke-20 dan telah diiktiraf sebagai Kumpulan Pop Terbesar di Dunia oleh Guinness World Records.
Permohonan dibuka dari 1 Julai hingga 1 Ogos 2025. Calon yang berminat perlu menghantar video berdurasi maksimum 90 saat yang menampilkan kebolehan menyanyi atau menari melalui laman web rasmi klp48audition.com.
Selain video, calon turut perlu melengkapkan maklumat peribadi serta menyertakan dokumen yang diperlukan. Mereka yang berjaya ke peringkat saringan akan dipanggil ke sesi temuduga secara fizikal yang dijadualkan pada 23 dan 24 Ogos 2025 di Kuala Lumpur.
Pusingan akhir ujibakat pula dijadualkan berlangsung pada 6 dan 7 September 2025.
KLP48 merupakan kumpulan adik ke-10 AKB48 di luar Jepun, dan diuruskan oleh 48 Entertainment Sdn Bhd dengan kelulusan rasmi daripada pemegang lesen, Superball Co Ltd. Antara kumpulan adik AKB48 lain yang sedia ada termasuk JKT48 (Jakarta), BNK48 (Bangkok), MNL48 (Manila), AKB48 Team SH (Shanghai), AKB48 Team TP (Taipei), SGO48 (Ho Chi Minh City), CGM48 (Chiang Mai), DEL48 (Delhi) dan MUB48 (Mumbai).
Menurut Pengarah 48 Entertainment Sdn Bhd, Yip Jun Huei, barisan generasi pertama KLP48 telah berjaya menambat hati peminat dengan persembahan penuh semangat dan personaliti yang mesra.
“Kami amat bersemangat untuk memulakan pencarian ahli generasi kedua yang akan mewarnai masa depan KLP48 dan meneruskan legasi AKB48. Kepada semua yang berminat, kami ucapkan selamat mencuba dan teruskan usaha anda!”
Orang ramai yang mengenali individu berbakat dalam bidang seni persembahan turut digalakkan untuk mencalonkan mereka atau memberi galakan untuk menyertai ujibakat ini.
Langkah ini mungkin menjadi titik permulaan kepada perubahan besar dalam hidup serta kejayaan masa depan. Bagi pemohon di bawah umur 18 tahun, kebenaran ibu bapa atau penjaga adalah diperlukan.
Ikuti perkembangan terkini mengenai KLP48 di platform rasmi mereka:
- TikTok: @klp48_official
- Instagram & Facebook: @KLP48official