Cinta Pertama Bertaut Semula Dalam ‘The Nice Guy’ Lakonan Lee Dong Wook & Lee Sung Kyung

Dibintangi oleh Lee Dong Wook (A Shop For Killers) dan Lee Sung Kyung (Dr. Romantic 3), The Nice Guy ialah drama Korea noir 14 episod yang akan ditayangkan secara eksklusif di Disney+ Hotstar.

Drama ini mengisahkan Park Seok Chul (Lee Dong Wook), cucu sulung dalam keluarga gengster generasi ketiga yang dibesarkan dalam dunia penuh kekerasan dan kesetiaan terhadap keluarga. Disangka hanya seorang samseng, Seok Chul sebenarnya menyimpan impian untuk menjadi penulis seperti Ernest Hemingway dan mengimpikan kehidupan yang lebih tenang — jauh dari dunia hitam yang diwarisi.

Namun, realiti hidup memaksanya memilih jalan sebagai gangster demi kelangsungan hidup. Setelah bertahun menjalani kehidupan penuh ketabahan, takdir mempertemukannya semula dengan cinta pertamanya, Kang Mi Young (Lee Sung Kyung) — pertemuan yang menggoncang kembali arah hidupnya.

Mi Young pula ialah seorang wanita yang masih berpegang teguh pada impian menjadi penyanyi, walaupun dibelenggu ketakutan untuk tampil di pentas dan realiti hidup yang tidak menyebelahi. Kehadiran semula Seok Chul dalam hidupnya menjadi titik perubahan besar — bukan sahaja untuk mengejar impian, tetapi juga untuk menghadapi masa silam yang masih menghantui.

Mereka mula menyokong antara satu sama lain di tengah perjalanan mengejar impian masing-masing. Namun persoalannya — adakah mereka mampu menewaskan ketakutan dan beban masa lalu, atau akan terus terperangkap dalam bayang-bayang silam?

Pandangan Mata Penuh Rasa — Poster “The Nice Guy” Tampilkan Detik Romantis Lee Dong Wook & Lee Sung Kyung

Dalam poster yang baru sahaja dikeluarkan, Park Seok Chul dan Kang Mi Young digambarkan bersandar rapat, seolah-olah bibir mereka hampir bersentuhan. Pandangan mata yang penuh kelembutan di antara mereka menyerlahkan suasana romantik, mencetuskan rasa debaran dan keterujaan.

Frasa yang tertera, “Aku temui kau ketika aku tiada impian mahupun harapan,” memberi bayangan bahawa Park Seok Chul dan Kang Mi Young menjadi penyelamat antara satu sama lain di tengah realiti hidup yang mencengkam. Kisah mereka yang bertemu semula seolah-olah ditakdirkan, membawa memori pahit-manis cinta pertama, sekaligus menimbulkan rasa ingin tahu tentang bagaimana perjalanan mereka akan berkembang.


Pihak produksi turut berkongsi:

“Fokus utama drama ini ialah kisah cinta yang menyayat hati antara Park Seok Chul dan Kang Mi Young selepas pertemuan semula mereka. Naratif yang padat dengan emosi serta perkembangan watak yang mendalam dijangka membangkitkan rasa rindu dan keterujaan penonton. Nantikan keserasian emosi dan lakonan yang menyentuh hati daripada Lee Dong Wook dan Lee Sung Kyung.”

Antara Impian & Kenyataan — Saat Cinta Lama Kembali Bersemi

Foto terbaharu turut menunjukkan detik penuh emosi antara Seok Chul dan Mi Young, dengan Seok Chul menjadi penyokong setia yang menyemarakkan semangat Mi Young untuk terus mengejar impian nyanyiannya, walaupun dibelenggu ketakutan untuk tampil di khalayak. Tatapan lembut dan lambaian perpisahan mereka menggambarkan hubungan yang mendalam dan menyentuh hati.

Lee Dong Wook memuji Lee Sung Kyung sebagai rakan gandingan yang peka, penuh idea dan sentiasa membawa tenaga positif ke set. Beliau menggambarkan hubungan watak mereka sebagai “penyelamat antara satu sama lain – sebab untuk terus hidup.”

Lee Sung Kyung turut memuji Lee Dong Wook sebagai pelakon yang prihatin dan banyak membimbing sepanjang penggambaran. Katanya, “Mereka ialah cinta pertama satu sama lain—penuh kejujuran dan harapan, walaupun dalam dunia yang tidak sempurna.”

The Nice Guy dijadualkan tayangan perdana pada 18 Julai jam 8:50 malam (KST) dan boleh distrim menerusi Disney+ Hotstar, dengan dua episod berturut-turut akan disiarkan setiap hari Jumaat.

Sumber : 1 | 2 |