Lee Joon Hyuk, Seo Hyun Woo dan Oh Dae Hwan Hidupkan Kisah Pejabat Dalam Sesi Baca Skrip Drama Baharu

Siri asal terbaharu TVING berjudul “Lotto 1st Place Winner Goes to Work Too” (tajuk literal) telah berkongsi sekilas pandang sesi bacaan skrip pertamanya!

Diadaptasi daripada webtoon dengan judul yang sama, drama ini mengisahkan Gong Eun Tae (lakonan Lee Joon Hyuk), seorang pekerja jualan biasa yang memenangi hadiah utama loteri. Namun, jumlah kemenangan — 1.3 bilion won (sekitar RM4.5 juta) — bukanlah cukup besar untuk mengubah hidupnya secara drastik. Sebaliknya, Eun Tae melihat kemenangan itu sebagai “penampan emosi” terbaik. Daripada berhenti kerja, dia memilih untuk terus hadir ke pejabat, dengan semangat dan perspektif baharu terhadap rutin harian kerjanya.


Lee Joon Hyuk sebagai Gong Eun Tae

Lee Joon Hyuk membawakan watak Gong Eun Tae, ketua pasukan yang rajin dari Jabatan Jualan 5 di syarikat Hongsung International. Sepanjang hidupnya, dia berusaha untuk hidup secara biasa tanpa menimbulkan masalah. Justeru, apabila memenangi loteri, dia mula mempertimbangkan semula hala tuju hidupnya. Penonton akan mengikuti proses perkembangan diri Eun Tae yang tulus dan sangat dekat dengan realiti ramai pekerja.

Lee Jun Hyuk berkata,

“Selepas membaca skrip, saya sempat bercakap dengan seorang kawan yang bekerja pejabat. Cerita ini sebenarnya tentang bagaimana pekerja saling memahami dan menyokong antara satu sama lain. Saya rasa ia boleh beri sedikit kelegaan emosi kepada mereka yang bekerja. Saya juga tak sabar nak bekerjasama dengan Seo Hyun Woo dan Oh Dae Hwan—gabungan yang pasti menyeronokkan. Nantikan ya!”


Seo Hyun Woo sebagai Yang Jun Ho

Seo Hyun Woo pula memegang watak Yang Jun Ho, rakan sepasukan Eun Tae yang sering bermasalah dan merupakan penolong pengurus Jabatan Jualan 5. Selepas menikmati masa muda yang gemilang, Jun Ho kini berdepan realiti pahit apabila kerjayanya mula mendatar. Apabila Eun Tae—yang masuk kerja setahun selepasnya—dinaikkan pangkat lebih awal, Jun Ho mula dipenuhi rasa iri dan menjadi rakan sekerja yang sukar. Namun, sedikit demi sedikit, dia belajar untuk menerima hakikat dan mula menyokong orang sekelilingnya.

Seo Hyun Woo berkongsi,

“Saya tertarik dengan premis cerita ini — bagaimana jika pekerja biasa tiba-tiba menang loteri? Jalan cerita yang disampaikan sangat realistik dan menyentuh emosi. Saya ingin kongsikan rasa teruja itu dengan penonton. Dinamik antara saya, Lee Jun Hyuk dan barisan pelakon lain juga sangat saya nantikan. Harap semua tak sabar juga!”


Oh Dae Hwan sebagai Jung Sun Hyuk

Sementara itu, Oh Dae Hwan menjelma sebagai Jung Sun Hyuk, ketua pasukan Jabatan Jualan 4 yang sering dipinggirkan. Walaupun hidupnya penuh disiplin dan ikut aturan, dia tetap gagal mendapat kenaikan pangkat, dan kini berdepan realiti kerja yang tidak memihak padanya. Menyedari bahawa hubungan dan sokongan kadang-kala lebih penting daripada kebolehan, dia membuat keputusan berani untuk menjadi seorang “opportunist” demi kelangsungan diri.

Oh Dae Hwan menyatakan,

“Saya benar-benar gembira dapat menjadi sebahagian daripada drama ini. Lebih menggembirakan, saya berpeluang bekerja semula dengan pengarah dan kru yang pernah saya kenal. Drama ini bawa mesej yang baik. Saya akan berikan sepenuh usaha untuk menjayakannya demi penonton.”


Tayangan Perdana pada 2026

“Lotto 1st Place Winner Goes to Work Too” dijadualkan untuk tayangan perdana pada tahun 2026. Nantikan perkembangan terkini!

 

Sumber : 1