‘Desire: Unleash’ Bawa ENGENE Kuala Lumpur Rasai Kehadiran ENHYPEN Lebih Dekat

KUALA LUMPUR, 15 Jun 2025 — Lebih 250 ENGENE bertuah telah berhimpun pada 14 Jun di Rollerwa+, Lalaport BBCC bagi meraikan kemunculan terbaharu ENHYPEN menerusi DESIRE: UNLEASH – The Experience in Kuala Lumpur, sebuah acara istimewa yang direka khas untuk membawa peminat menyelami tema dan estetika album terkini kumpulan tersebut.

Acara ini dianjurkan oleh K-Verse MY, ENHYPEN Malaysia Fanbase, dan Entity Officials, dengan sokongan daripada Cadbury Malaysia. Ia menggabungkan komuniti, kreativiti dan semangat meraikan idola dalam satu pengalaman penuh warna yang berlangsung sepanjang hari.

Hari bermula dengan pelbagai aktiviti menarik termasuk booth interaktif, peluang bergambar eksklusif berinspirasikan konsep DESIRE: UNLEASH, serta bufet coklat Cadbury yang membolehkan peminat menikmati rasa manis sejajar dengan tema album.

Salah satu kemuncak awal acara ialah tayangan rasmi filem Cadbury x ENHYPEN, yang mengejutkan dan menggembirakan peminat apabila melihat idola mereka tampil dalam sebuah kolaborasi unik dan tidak dijangka. Seterusnya, permainan Escape Game mencabar peserta untuk menyelesaikan teka-teki tersembunyi di sekitar lokasi dalam masa terhad.

Antara segmen paling dinanti-nantikan ialah bengkel tarian “Bad Desire” yang dikendalikan oleh Eddo, di mana peminat berpeluang mempelajari koreografi lagu tersebut dan bertanding untuk merakam cabaran TikTok khas buat ENHYPEN. Kumpulan VEVERSA Dance Crew turut memukau hadirin dengan persembahan bertenaga lagu “No Doubt”, sementara sesi cabutan bertuah yang menawarkan hadiah eksklusif termasuk poster bertandatangan menambahkan keterujaan sepanjang acara.

Peminat juga meluahkan rasa cinta mereka kepada ENHYPEN melalui mesej tulisan tangan dan mencipta kenangan peribadi menerusi cenderahati bertemakan album seperti rantai kunci. Suasana menjadi lebih syahdu dan penuh emosi semasa sambutan hari jadi Sunoo dan sesi listening party, di mana peminat berkongsi kegembiraan dan kasih sayang bersama-sama.

Daripada detik mencabar memburu petunjuk sehinggalah senyuman manis saat memenangi barangan eksklusif atau terpilih untuk cabaran tarian, acara ini benar-benar memberi ruang buat ENGENE Malaysia untuk “melepaskan keinginan” mereka sepenuhnya. Acara diakhiri dengan pemilihan tiga penari terbaik untuk merakam video cabaran khas Bad Desire — sebagai hadiah penuh makna daripada ENGENE Malaysia buat ENHYPEN.

Semoga acara ini menjadi titik tolak kepada perhatian yang lebih besar daripada pihak ENHYPEN dan agensi mereka. Siapa tahu, suatu hari nanti ENHYPEN akan hadir secara langsung ke Kuala Lumpur? Terima kasih atas pengalaman luar biasa yang terasa seolah-olah ENHYPEN sendiri bersama kami di sana. Syabas dan terima kasih kepada semua yang telah berusaha menjayakan acara ini sebaik mungkin. Terrima kasih juga kerana mengundang KMania!

 

View this post on Instagram

 

A post shared by ROLLERWA MALAYSIA (@rollerwakl)

DESIRE: UNLEASH The Experience In Kuala Lumpur telah dianjurkan oleh K-Verse MY, ENHYPEN MALAYSIA Fanbase dan Entity Officials.

Untuk maklumat lanjut dan kemas kini terkini, ikuti:

K-VERSE MY
Instagram: @kverse.my
TikTok: @kverse.my

ENHYPEN MALAYSIA FANBASE
Instagram: @enhypenmalaysia_
X (Twitter): @ENHYPENMalaysia

ENTITY OFFICIALS
Instagram: @entity_officials
X (Twitter): @entityofficials