‘Nine Puzzles’ Terajui Carta Disney+ Hotstar di Asia, Isyarat Kejayaan Global

‘Nine Puzzles’, siri original terkini dari Disney+ yang dibintangi Kim Da Mi dan Son Suk Ku, kini mencetuskan fenomena di seluruh Asia apabila menduduki tempat teratas carta penstriman di Korea Selatan, Jepun, dan Hong Kong. Drama misteri-thriller arahan Yoon Jong Bin, terbitan bersama MOONLIGHT FILM CO., LTD. dan Kakao Entertainment, ditayangkan pada 21 Mei dengan tayangan serentak episod 1 hingga 6, dan terus mendapat perhatian meluas di dalam dan luar negara.

Berlatarbelakangkan sepuluh tahun selepas kes pembunuhan yang tidak pernah diselesaikan, ‘Nine Puzzles’ mengikuti kisah Lee Na (lakonan Kim Da Mi), seorang profiler elit yang merupakan satu-satunya saksi kejadian asal, serta detektif berpengalaman Han Saem (Son Suk Ku) yang masih menganggapnya suspek utama. Ketika satu siri pembunuhan misteri baharu bermula, Lee Na mula menerima kepingan puzzle aneh yang menyeretnya semula ke dalam misteri gelap tersebut. Bersama-sama, mereka berusaha merungkai kebenaran mengerikan di sebalik siri pembunuhan itu menerusi naratif yang tegang dan pantas—yang berjaya memikat penonton.

Menariknya, ‘Nine Puzzles’ merupakan satu-satunya siri bukan berbahasa Inggeris yang kini tersenarai dalam Top 10 Global di FlixPatrol setakat 27 Mei. Siri ini juga mencatatkan prestasi cemerlang apabila melonjak ke tangga kedua dalam ranking mingguan TV-OTT drama buzz yang dikeluarkan oleh FUNdex Good Data Corporation untuk minggu keempat bulan Mei.

Penonton di seluruh dunia turut memberikan pujian di platform ulasan utama seperti IMDb dan MyDramaList. Ramai menyifatkan siri ini sebagai mempunyai suasana yang “segar dan mendebarkan”, penceritaan simbolik yang kuat, serta watak-watak yang unik. Tidak kurang juga yang menyatakan bahawa ‘Nine Puzzles’ membuatkan mereka mahu aktif menyelesaikan misteri sendiri—bukannya sekadar menerima jawapan mudah.

Gabungan antara dua penerbit utama, Kakao Entertainment dan MOONLIGHT FILM CO., LTD., turut menjadi perhatian. Kakao Entertainment terlibat sejak peringkat awal pembangunan cerita, memastikan naratif yang kukuh dan berselirat. Manakala pengarah Yoon Jong Bin, yang dikenali menerusi karya-karya hebat seperti Nameless Gangster: Rules of the Time, Kundo: Age of the Rampant, The Spy Gone North, dan siri Netflix Narco-Saints, membawa gaya sinematik tersendiri ke dalam drama ini. Beliau menggabungkan elemen surreal dengan realisme tinggi, mencipta dunia visual yang unik melalui pengarahan seni yang bergaya dan sinematografi dinamik.

Dengan naratif yang memikat, pengarahan yang mendalam, serta visual yang menarik, ‘Nine Puzzles’ diangkat sebagai antara thriller detektif paling menonjol tahun ini. Penonton terpesona dengan gaya penceritaannya yang bijak serta tona genre yang melangkaui kebiasaan drama Korea.

Episod baharu ‘Nine Puzzles’ (episod 7–9) akan ditayangkan pada 28 Mei, diikuti episod 10–11 pada 4 Jun. Boleh strim drama ini di Disney+ Hotstar Malaysia.

Sumber : 1 | 2