Drama baharu terbitan JTBC, “Efficient Dating for Singles” (tajuk sementara), telah mengumumkan barisan pelakon utama mereka!
Drama ini diadaptasi daripada webtoon dan berkisarkan tentang dunia percintaan moden — di mana cinta sahaja tidak mencukupi, tapi hubungan yang terlalu berpandukan syarat pun rasa kosong. Ia mengetengahkan cara ‘bercinta dengan lebih efisien’ — cepat, mudah dan sesuai dengan gaya hidup masa kini.
Han Ji Min membintangi watak utama sebagai Lee Ui Young, seorang penolong pengurus di bahagian pembelian hotel The Hills. Dia berjaya dalam kerja dan sangat dipercayai oleh rakan sekerja, tetapi dalam soal cinta, hidupnya agak suram. Belum pernah ada hubungan serius walaupun sudah masuk usia 30-an, Ui Young akhirnya beranikan diri untuk cuba temu janji buta.
Park Sung Hoon pula membawa watak Song Tae Seob, pasangan temu janji Ui Young. Dia pemilik bengkel kerja kayu — nampak lembut tapi berprinsip. Tae Seob impikan cinta sejati dan mahu bina keluarga yang bahagia.
Lee Ki Taek akan memegang watak Shin Ji Soo, seorang lelaki yang berbeza dengan Tae Seob. Dia secara tak sengaja terjebak dengan temu janji buta dan bertemu Ui Young. Walaupun dia lebih suka hidup bebas dan tak suka terikat dengan hubungan, pertemuan itu mula mengubah pandangannya tentang cinta.
Jung Hye Sung memegang watak Jung Hyun Min, rakan sekerja Ui Young yang periang dan terbuka. Dia lebih suka hubungan santai berbanding komitmen serius. Hubungan rapat antara Ui Young dan Hyun Min akan menyerlahkan sisi ‘womance’ yang mesra dan menyeronokkan dalam drama ini.
Akhir sekali, Kim So Hye akan membawakan watak Shim Sae Byeok, ahli paling muda dalam pasukan pembelian. Baru mula kerja dan masih menyesuaikan diri dengan dunia orang dewasa, Sae Byeok mengagumi Ui Young dan mahu berjaya seperti dia. Tapi, dunia pekerjaan penuh cabaran dan tidak semudah yang disangka.
Drama “Efficient Dating for Singles” dijadualkan tayang pada tahun 2026. Nantikan kisah percintaan moden yang penuh warna dan realiti!
Sumber : 1