Syaitan menyamar jadi hakim dalam “The Judge From Hell” yang akan tayang di Disney+ Malaysia 21 September ini

Apabila syaitan dihantar ke bumi dengan misi untuk membawa manusia kembali ke neraka, maka cara yang terbaik adalah dengan merasuk seorang hakim untuk mencapai matlamatnya. “The Judge From Hell” dengan 14 episode secara keseluruhan yang membawa tema percintaan fantasi dan jenayah akan ditayangkan pada 21 September di Disney+ Hotstar.

“The Judge From Hell” mengisahkan tentang Kang Bitna, seorang hakim bermasalah yang terkenal kerana menjatuhkan hukuman ringan kepada defendan. Dikritik secara meluas kerana kelembutannya, orang ramai tidak menyedari bahawa Bitna telah dirasuk syaitan yang dihantar ke bumi untuk mengheret sepuluh penjenayah kembali ke neraka.

Bertekad dan tidak lagi dapat dihalangi, keadaan berubah bagi Bitna apabila dia mula menyimpan perasaan terhadap detektif Daon, yang memeliki pemerhatian yang tajam. Adakah syaitan dapat menyelesaikan misinya atau menyerahkan semuanya kepada detektif impiannya?

Siri ini menampilkan Park Shin Hye sebagai Bitna dan Kim Jaeyeong sebagai detektif Daon “The Judge From Hell” diarahkan oleh Park Jinpyo yang terkenal dengan karya “Brave Citizen” dan “Love Forecast” dengan skrip yang ditulis oleh Jo Isu.

Poster drama terbaru

Dalam poster drama terbaharu,  syaitan Kang Bit Na dilihat melebarkan sayapnya sambil merenung ke arah kamera dengan mata yang berkilauan. Sementara itu, tajuk poster berbunyi, “Selamat datang ke dunia saya.”

Pasukan produksi di sebalik “The Judge from Hell” mengulas, “Dalam drama ini, Park Shin Hye memainkan watak Kang Bit Na, syaitan yang telah memasuki badan manusia yang merupakan seorang hakim. Park Shin Hye akan memberikan pengalaman katarsis yang memuaskan untuk penonton dengan menghukum penjahat dengan caranya yang unik, kejam dan berkuasa. Nantikan perubahan mengejutkan Park Shin Hye.”

Foto Pegun Han Da On lakonan Kim Jae Young

Dalam foto yang baru dikeluarkan, Kim Jae Young dilihat di tempat kejadian dengan pandangan tajam dan fokus. Walaupun dalam masa yang singkat ini, wataknya, detektif Han Da On, menunjukkan keazaman kuat sebagai seorang pegawai polis yang tidak akan berhenti untuk menangkap suspek. Kehadiran Kim Jae Young sangat memukau, merangkumi sepenuhnya peranan itu melalui ekspresi, pandangan dan persembahan keseluruhannya.

Han Da On merupakan seorang detektif yang berdedikasi dengan sentuhan manusia, mampu melembutkan hati walaupun mereka yang paling keras hati.  Perbezaan antara sisi karismatiknya yang dilihat dalam foto dan sisi wataknya yang lebih penyayang membina keterujaan dan rasa ingin tahu untuk drama itu.

Pasukan produksi berkata, “Watak Kim Jae Young, Han Da On, adalah sosok yang menawan dengan hati yang hangat dan kesedihan yang mendalam. Dengan lakonannya yang mantap dan fleksibel, Kim Jae Young benar-benar menangkap pesona Han Da On, menjadikannya seseorang yang kadangkala anda ingin bersandar dan menghiburkannya. Selain adegan aksi yang sengit, visual Kim Jae Young yang sempurna pasti akan membuat jantung penonton sentiasa berdebar.”

Foto Pegun Kang Bit Na lakonan Park Shin Hye

Gambar pegun terbaru dari “The Judge from Hell” menunjukkan mata Bit Na yang dingin dan sinis apabila melihat sasarannya. Dia tersenyum tipis dan penuh misteri. Satu lagi gambar yang cukup menarik menunjukkan wajahnya yang pucat berlumuran darah merah.

Selain daripada gambar pegun, pasukan produksi juga berbangga dengan perubahan dramatik Park Shin Hye. Untuk drama baru ini, aktres itu menunjukkan imej yang sangat berbeza. Dia kini kelihatan glamor, tetapi menakutkan, seperti yang dibuktikan oleh wajahnya yang berlumuran darah. Mereka turut memuji transformasi yang dipamerkan Park Shin Hye.

Untuk memainkan watak syaitan dalam diri seorang hakim, Park Shin Hye mengalami perubahan yang lengkap, daripada ekspresi wajahnya kepada keseluruhan fizikalnya. Dia memaksa dirinya sendiri, meletakkan segala-galanya dalam karakter sebagai Bitna. Kami berharap penonton akan teruja untuk melihat dia menjelmakan syaitan yang jahat, namun menawan ini sambil memberikan keadilan yang memuaskan.

Jangan lupa untuk strim “The Judge From Hell” di Disney+ Hotstar bermula 21 September ini.

Sumber : 1 | 2 | 3

loading...