Pengumuman berehat BTS beri impak kepada saham hiburan Korea Selatan

Setelah BTS mengumumkan akan berehat sementara daripada aktiviti berkumpulan dan fokus kepada kerjaya individu, nampaknya sedikit sebanyak memberi impak kepada beberapa perkara. Pengumuman tersebut dilakukan selepas BTS mengeluarkan album terbaru mereka “Proof” selepas dua tahun. Bagaimanapun, mereka menolak andaian bahawa mereka akan berpecah.

BTS adalah antara pelopor gelombang hallyu dan budaya Korea. Turut dikenali sebagai ‘The Next Beatles’ mereka berjaya mengukuhkan populariti mereka diseluruh dunia. Bahkan mereka berjaya membina reputasi mereka diperingkat antarabangsa. Menurut salah seorang ahli BTS yang menyatakan, “Masalah dengan industri K-pop dan keseluruhan sistem idola ialah anda tidak diberi masa untuk menjadi matang.”

Penyokong setia BTS atau dikenali sebagai ARMY, yang setia dan sanggup berjuang demi kumpulan itu menyokong keputusan yang dibuat oleh BTS. Mereka berjanji di Twitter bahawa mereka akan menjadi ‘Army selamanya.’ Sungguhpun begitu, perkara yang sama tidak disambut baik oleh pelabur dalam Hybe Co, agensi  yang bertanggungjawab untuk mengurus BTS.

Berikutan pengumuman itu, syarikat pengurusan kumpulan tersebut, Hybe dilaporkan mengalami kejatuhan saham besar dengan penurunan sebanyak 28 peratus pada Rabu lalu yang memiliki nilai pasaran sebanyak AS$1.7 bilion (RM7,482,550,000). Ia merupakan penutupan saham terendahsejak penampilan pertama mereka di Bursa Korea pada Oktober 2020.

Selepas BTS mengumumkan bahawa kumpulan itu mahu berehat, Hybe tampil mengeluarkan kenyataan dengan menjelaskan bahawa BTS bukan berehat, tetapi setiap ahli akan menumpukan dengan projek solo masing-masing. Namun, rehat dalam jangka masa yang singkat untuk kumpulan yang mempunyai penyokong sekuat kumpulan penyokong parti politik sudah cukup untuk menakutkan para pemegang saham Hybe.

Turut menerima tempias sama ialah pesaing kepada Hybe Labels walaupun pada tahap yang lebih kecil. YG Entertainment, yang menguruskan kumpulan seperti BigBang dan Blackpink, turun kepada 7%. Cube Entertainment dan FNC Entertainment, dua lagi agensi bakat utama Korea, turun sekitar 3.5%.

Bagi Hyunsu Yim, penulis untuk Korea Herald, menyatakan di Twitter bahawa Hybe masih bergantung harap pada satu kumpulan sahaja tidak seperti pesaingnya. Hampir 90 peratus pendapatan Hybe dijana daripada kumpulan tersebut, lapor Financial Times.

Seorang penganalisis di Yuanta Securities, memberi amaran bahawa pendapatan Hybe tahun ini berkemungkinan akan menjadi suku lebih rendah daripada anggaran sebelumnya, sementara keuntungannya pula satu pertiga lebih rendah tanpa konsert BTS.

“Menyemak unjuran pendapatan syarikat untuk 2022/23 nampaknya tidak dapat dielakkan jika ia mengesahkan bahawa BTS tidak akan mengadakan konsert pada separuh kedua dan tahun depan,” katanya dalam satu nota penyelidikan.

Bagi sesetengah pelabur, kemerosotan sektor itu bermakna terdapat peluang membeli.

“Reaksi pasaran agak terlalu berlebihan,” kata An Hyungjin, ketua pegawai eksekutif di Billionfold Asset Management, merujuk kepada kejatuhan Hybe pada Rabu lalu.

“Hybe juga mempunyai kumpulan seperti Seventeen yang sedang dalam perjalanan untuk menjadi seperti BTS.”

Akhirnya, cara paling mudah untuk saham hiburan melantun semula adalah apabila syarikat menjalankan tugas mereka: mencipta kandungan yang sanggup dibayar oleh khalayak umum. — Bloomberg

Sumber : [1], [2], [3]

loading...