Tampil berucap di Universiti Stanford, penampilan Suho ternyata curi perhatian dan memukau para audiens

Nampaknya Suho benar-benar mencuri perhatian mahasiswa secara amnya dan peminat EXO secara khususnya yang berada di Universiti Stanford, California.

Suho EXO telah menghadiri persidangan pengajian Korea baru-baru ini yang diadakan di Universiti terbabit, di mana dia membincangkan mengenai pengaruh ‘gelombang Hallyu’.

Pada 19 dan 20 Mei, Universiti Stanford mengadakan persidangan untuk pengajian Korea, dan ahli EXO Suho menghadiri hari pertama persidangan itu sebagai ahli panel. Di sini, Suho bercakap tentang gelombang Hallyu bersama-sama dengan Ketua Pegawai Eksekutif CJ ENM America, Angela Killoren dan profesor Universiti Stanford.

Suho menyampaikan pembentangannya dalam bahasa Inggeris. Dalam ucapannya, Suho bercakap tentang bagaimana gelombang K-pop mendunia serta pengaruhnya sehinggakan ia dijadikan salah satu program pengajian di universiti terkemuka.  Suho juga turut berkongsi pengalaman serta perjalanannya sebagai idol K-pop selama 10 tahun.

Saya rasa Korea sudah mula berubah melalui K-pop. Setiap kali konsert, peminat menyanyikan lagu dalam bahasa Korea. Negara seperti Mexico, Chile, tempatnya jauh dari Korea tetapi mereka tetap membawa poster berbahasa Korea. Ini menakjubkan.

Selain itu, dia juga turut menjelaskan bagaimana EXO boleh mencipta populariti diperingkat global jika bukan kerana sokongan tanpa jemu dari peminat mereka di seluruh dunia.

“Saya sentiasa berterima kasih atas sokongan (peminat). Ini kali pertama saya hadir ke persidangan di Amerika Syarikat,” kata Suho.

Suho berkesempatan melakukan sesi soal jawab bersama penonton. Dia mengaku sangat gementar tetapi mahu bercakap dalam bahasa Inggeris untuk peminat yang menunggunya. Apa yang menarik, Suho turut mendapat perhatian untuk jawapannya yang bernas semasa sesi soal jawab tersebut.

Peminat menyatakan bahawa walaupun dia pada mulanya kelihatan gugup, Suho melakukan ucapannya dengan sangat baik dan melebihi jangkaan mereka. Dia tenang dalam ucapannya malah bergurau dengan hadirin. “EXO-L, nama fandom kita. Awak tahu tak maksud L ?,” soal Suho. “Cinta,” jawab mereka yang mendengar ucapannya. Suho dilihat tersenyum saat mendengar jawapan itu dan memberikan pujian terhadap mereka.

Sebelum mengakhiri ucapannya, ketua kumpulan EXO ini berjanji akan kembali melawat Amerika Syarikat bersama ahli kumpulannya tidak lama lagi.

Tidak hanya mengunjungi Universiti Stanford saja,  Suho turut hadir merasmikan SM Entertainment Square. Tempat ini didedikasikan kepada pengasas SM Entertainment, Lee Soo Man sebagai penghargaan atas kerja kerasnya dalam industri muzik global.

Sementara itu, nama Suho menjadi trending di Twitter dengan tanda pagar ‘SUHOxSTANFORD. Peminat rata-rata melahirkan rasa bangga terhadap idola tersebut.

Persidangan ini juga membincangkan geopolitik Korea Utara dan program-program Korea di universiti. Acara ini akan diteruskan untuk hari kedua dan terakhirnya esok dan akan disiarkan secara langsung di saluran YouTube rasmi Stanford Shorenstein APARC, di mana anda juga boleh menonton hari pertama persidangan itu.

loading...