Inilah artis Korea pilihan Malaysia paling popular sekarang, penyandang takhta Kmania TOP Stars Nov 2020

Kim Seon Ho, BTS dan Taehyung akhirnya berjaya menyandang takhta Kmania TOP Stars bulan November 2020 apabila meraih undian tertinggi di Malaysia masing-masing untuk kategori “Kdrama Artist Top Stars”, “Kpop Group Top Stars” dan “Kpop Idol Top Stars”.

Kim Seon Ho mendahului pencabar-pencabarnya terdekat dengan peratusan undian sebanyak 34.8%, disusuli oleh Lee Dong Wook (34.6%) dan Lee Do Hyun (30.8%). Tidak menyangka boleh menjadi igauan peminat kdrama, nama Kim Seon Ho melonjak naik apabila membintangi drama tvN Start Up sebagai Han Ji Pyeong, yakni merangkap ketua kumpulan senior di unit pelaburan syarikat yang sudah menaruh hati kepada Dal Mi (lakonan Suzy), namun tidak berani untuk meluahkan kata-kata di hadapannya. Walaupun pada dasarnya kuat membebel, namun karisma serta kepetahannya bercakap selain kehadiran lesung pipit yang sentiasa dihiasi dengan senyuman menyebabkan peminat kdrama seakan-akan terjatuh hati dan bersimpati akan wataknya lalu mencetuskan sindrom “2nd lead” berterusan sepanjang menonton drama ini. Sekiranya jalan cerita berkehendakkan Dal Mi mengabaikan Do San (lakonan Nam Joo Hyuk) demi melangsungkan hidup bersama dengan Ji Pyeong, ramai mungkin berpuas hati agaknya. Masakan tidak, orang pertama yang mendampingi hati Dal Mi adalah Ji Pyeong, bukannya Do San.

Lee Dong Wook, yakni penyandang takhta “Kdrama Artist Top Stars” bulan lepas terkandas di tempat kedua hanya berbeda beberapa peratusan undi daripada Kim Seon Ho manakala nama baru, Lee Do Hyun menjadi pilihan rakyat Malaysia untuk meletakkannya di tangga tiga teratas pelakon paling popular di Malaysia kini. Lee Do Hyun dipuji atas keberkesanan lakonannya di dalam jtbc 18 Again baru-baru ini.

Bagi kategori Kpop Group Top Stars pula, BTS jauh di hadapan dengan peratusan sebanyak 50.9%, berbanding Blackpink (35.7%), Stray Kids (31.4%), NCT (27.1%) dan TREASURE (18.3%). BTS masih mengekalkan momentum tersebut dengan single ‘Dynamite’  yang masih lagi menjadi siulan peminat kpop selain single ‘Life Goes On’ yang dikeluarkan serentak dengan album terbaru mereka, BE. ‘Life Goes On’ telah mencipta sejarah menjadi lagu berbahasa Korea pertama memperolehi kedudukan no.1 di dalam carta Billbord Hot 100, sekaligus membuktikan pengaruh BTS di mata dunia yang bukan lagi calang-calang hebatnya. Yang mendatangkan kejutan seharusnya Stray Kids di tangga ketiga teratas kumpulan kpop paling popular masa kini setelah penangan populariti mereka mula dirasai kehebatannya sejak menjengah ke konsert atas talian anjuran Shopee Malaysia baru-baru ini.

Akhir sekali, Taehyung menggantikan Jungkook untuk dinobatkan sebagai pemegang takhta “Kpop Idol Top Stars” meninggalkan jauh pencabar-pencabarnya ke belakang dengan peratusan undian sebanyak 33.2%. Taehyung pandai memikat hati peminatnya dengan berbagai-bagai gaya dan aksi bergambar moden laksana seorang model berpengalaman. Dibantu dengan “comeback” album terbaru, ianya sudah cukup meletakkan Taehyung dan Kim Seok Jin (28.0%) di tangga tiga teratas idol paling popular masa kini. Namun jangan sesekali menduga kemampuan idol ini di tangga kedua, iaitu Baekhyun dengan peratusan undi sebanyak 28.1% membuktikan dirinya masih tetap berpengaruh dalam kalangan peminat kpop di serata Malaysia. Di samping itu, idol yang menduduki tempat keempat dan kelima tertinggi pula masing-masing ialah penyandang paling popular bulan lepas, Jungkook (25.4%) dan Jennie Kim (21.7%).

Sebagai bonus, tiga lagu kpop paling popular di Malaysia sepanjang November lalu adalah Life Goes On oleh BTS (26.7%), Dynamite oleh BTS (22%) dan Lovesick Girls oleh Blackpink (18.4%).

Kaji selidik Kmania TOP Stars Nov 2020 ini dibuat pada 29 November hingga 30 November 2020 dengan anggaran 558 undian telah dicatatkan.

Segala keputusan di atas adalah berdasarkan undian secara atas talian menerusi website kami kmaniamy.com. Untuk mengetahui carta Top 10 ‘Kmania Top Stars’ sila klik pautan di sini.