Pada 14 November, Leo VIXX telah mengunjungi kafe penggemar (fan cafe) rasmi untuk berkongsi tarikh pendaftaran tenteranya dan bicara soal kesihatan mentalnya.
Dalam surat yang ditulis dalam tulisan tangan oleh Leo, dia menulis:
Hello, Starlight [nama kelab peminat rasmi VIXX]. Saya akan menulis mengenai sesuatu hari ini yang anda semua ingin tahu.
Seperti yang anda tahu, saya dilahirkan pada tahun 1990. Saya akan mendaftar masuk untuk jalani khidmat tentera pada 2 Disember, yang mana pada saya ianya agak lewat. Saya tidak mendaftar sebagai askar tugas aktif tetapi sebagai pekerja perkhidmatan awam.
Saya juga akan bercakap tentang sesuatu yang peminat tahu mengenainya. Sejak November 2013, ketika saya mengadakan siri jelajah dunia sempena fan meeting bersama VIXX, saya telah mengalami gangguan panik dan kemurungan yang teruk. Saya telah mengambil ubat secara berkala dan menerima rawatan untuk memastikan ia tidak menjadi lebih serius.
Untuk jangka masa yang lama, saya selalu berfikir bahawa saya harus menunjukkan sisi saya yang sihat ketika mendaftar dalam tentera. Hati saya berat kerana saya tidak dapat melakukannya, walaupun pendaftaran saya ditangguhkan. Pertama sekali, saya ingin mohon maaf kepada mereka yang selalu bimbang tentang kesihatan saya dan kepada mereka yang kecewa dengan saya.
Saya sedar bahawa [peminat saya] risaukan saya dan tidak mampu untuk memberitahu saya secara depan-depan. Alasan saya dapat bertahan sebagai anak seni selama tujuh ke lapan tahun sebagai VIXX, biarpun mengharungi masa sukar yang boleh buatkan saya putus asa dan kembali bangkit, adalah kerana Starlight, sumber inspirasi saya. Kerana anda berada di sini, saya juga di sini.
Saya ingin mengatakan ini sekali lagi kepada mereka yang telah menyokong saya dan menyayangi VIXX selama lapan tahun. Kerana anda, saya dan VIXX adalah siapa kita pada hari ini. Saya tidak akan melupakan perasaan terima kasih ini, dan saya akan berusaha sebaik mungkin untuk menjadi Jung Taekwoon [nama sebenar Leo] yang dapat menghiburkan anda dengan muzik dan menjadi sumber inspirasi anda.
Saya telah menerima macam-macam dari ramai orang hingga buatkan saya rasa bersalah dari rasa berterima kasih, tapi saya akan bekerja keras untuk menjalani serta menamatkan perkhidmatan tentera, menjadi lebih sihat dan membayar balik [untuk apa yang telah saya terima].
Saya menundukkan kepala saya dengan rasa syukur kepada mereka yang amat menyayangi saya, yang berterusan memberi sokongan dan menjadi sumber kekuatan saya. Kepada Starlight yang selalu menjadi pusat graviti kami … Maafkan saya kerana buat anda bimbang. Saya sayang kamu semua. Saya, Taekwon, akan meninggalkan ahli VIXX yang lebih muda dalam jagaan Starlight sepanjang perkhidmatan saya.
Dari Taekwon. Saya akan melakukan yang lebih baik supaya saya dapat bertahan lama.
Leo VIXX kini aktif sebagai pelakon muzikal dan baru-baru ini dia telah mengeluarkan lagu berjudul “All Me” sempena hari lahirnya pada 10 November. Leo akan menjadi ahli VIXX kedua selepas N untuk memulakan perkhidmatan tentera wajibnya pada 2 Disember depan.
Jaga diri dan selamat berkhidmat Leo!
Sumber : hankookilbo