“Tak puas kalau tak jadi jahat” – Chansung 2PM

Drama tvN What’s Wrong with Secretary Kim telah membuatkan Chan Sung dikenali semula di dalam dunia lakonan. Kelibatnya jarang sekali diperkatakan, malah dia terlebih dahulu berkecimpung di dalam industri drama sebelum rakan-rakan seperjuangannya, Jun Ho dan Taecyeon bergiat sama. Drama pertamanya, KBS Unstoppable High Kick telah pun bersiaran pada 12 tahun lalu sewaktu usianya masih lagi belasan tahun.

Memegang watak Go Gwi Nam yakni pekerja bawahan syarikat Yoomyung Group di bawah kendalian Lee Young Joon (Park Seo Joon) yang terkenal dengan sikap berjimat-cermatnya, Chan Sung perlu mendalami saat-saat kesusahan Go Gwi Nam pada waktu kecil yang membuatkannya berwaspada untuk membelanjakan wang won dan beriltizam menjadi seorang yang kuat bekerja demi kemajuan syarikat. Sampaikan Kim Min So (Park Min Young) pernah bersangka buruk bahawa Gwi Nam mungkin tak berminat mencari perempuan untuk dijadikan isteri. Interaksinya dengan pelakon Hwang BoRa menjadikan suasana di tempat kerja ‘hidup’ dan penuh dengan kepositifan.  Chansung dipuji penonton bukan saja atas peningkatan baik dalam lakonan tersebut, malah wajahnya semakin matang dan tampan menjadikan penonton berasa simpati atas kesusahan dialami wataknya di dalam drama ini.

Dalam temuduganya dengan wartawan Seoul News 1, Chan Sung mengimbas kembali sewaktu kali pertama dia diberi peluang emas untuk menjadi salah seorang pelakon drama KBS Unstoppable High Kick. Chan Sung mengaku dia tidak memahami maksud lakonan yang berkesan di mata penonton.

“Saya ingatkan kalau bekerja keras, saya dapt tampilkan lakonan yang baik. Tapi, saya silap .”

Katanya lagi, ” Saya sedar bahawa karakter yang saya mainkan tidak sampai kepada tujuan asalnya. Saya tak reti untuk  mempelbagaikan gaya lakonan, hasilnya saya tak tahu samada perlu atau tidak untuk menyatakan rasa bimbang atau resah pada pelakon lain .”

“Walaupun begitu, saya anggap ‘lakonan’ ialah sesuatu kerja yang menarik dan tak membosankan. Semakin saya mendalami ilmu lakonan, semakin saya tahu bagaimana untuk mengekspresikan emosi lakonan dengan cara yang boleh diterima penonton. Ia sesuatu kerja yang menyeronokkan ,” tambah Chan Sung mengenangkan masa lampau.

 

Menjawab soalan wartawan apakah yang membuatkan Chan Sung terus berminat untuk berlakon, dia menamakan filem muzikal , ‘Interview’ tahun 2017 sebagai titik perubahan dalam hidupnya.

“Interview hanya berdurasi 2 jam. Tapi, saya kena gayakan seorang pakar penemuduga untuk memahami keadaan psikologi setiap suspek baik seorang budak berusia 14 tahun, seorang gadis mentah, mahupun seorang psikopat. Hasilnya, saya menjadi lebih berminat untuk menceburi bidang lakonan ,” telah Chan Sung lagi.

Sering kali dikritik kerana membawakan imej idol bergelar pelakon , Chan Sung tak melatah malah menganggapnya sebagai asam garam dalam kehidupannya sebagai selebriti selama lebih 12 tahun.

“Saya pernah berasa sedikit tertekan apabila dilabel sebagai ‘menyanyi dalam berlakon’ semasa menjayakan drama debut. Apapun, bagi saya, ia cuma sekadar penambah baik. Penonton akan memilih drama mana yang mereka mahukan. Ada kuat mengkritik, ada juga boleh menerima. Pelakon melakukan kerjanya kerana dia mahu, begitu juga saya kena tunjukkan seperti yang dpinta , ” sambung Chan Sung lagi mengiyakan bukan senang untuk memuaskan kehendak kesemua penonton.

Buat pengetahuan kalian, Chan Sung bukan saja memiliki pakej rupa yang tampan, jambu dan berbakat dalam ‘rapping’ tetapi disebaliknya, dia juga telah mahir dalam seni taekwando sehingga mencapai tahap ke-3 bertali hitam. Maka, berwaspadalah sesiapa yang cuba untuk beregu secara berhadapan dengannya. Ditanya atas kemungkinan untuk menunjukkan aksi taekwondonya, Chan Sung berseloroh berkata dia mahu menjadi penjahat di dalam drama bersiri ‘thriller’.

“Saya rasa saya mampu lakukannya. Tak puas kalau tak jadi jahat , ” kata Chan Sung lagi sambil ketawa mengakhiri temuduga diadakan.

Sumber: news.1.kr