Jenama produk popular mula menjauhi X1 gara-gara polis terjumpa bukti manipulasi undian tempoh hari

Beberapa jenama produk popular mengelakkan diri mereka daripada menandatangani sebarang kontrak bersama ahli-ahli X1 sebelum siasatan polis tentang dakwaan memanipulasikan undi oleh pihak produksi Mnet tempoh hari lengkap sepenuhnya.

Menurut laporan daripada Chosun Ilbo pada 22 Ogos semalam, perbincangan bersama pemilik-pemilik syarikat jenama popular tersebut terpaksa ditangguhkan bagi memberikan laluan kepada polis menyelesaikan siasatan mereka.

Salah satu jenama popular itu dilaporkan berkata, “Isu itu terlalu negatif untuk diperkatakan. Kami terpaksa pertimbangkan kemahuan pelanggan kami. Daripada perspektif syarikat pula, tak mudah untuk melakukannya. Kendatipun begitu, kami mungkin boleh mempertimbangkannya pada masa depan. Buat masa ini, perancangan sedia ada tak menjadi malah ‘photo shoot’ pun kami tak buat.”

Pada hari ini, 23 Ogos 2019, Ji Sang Hwi, produser ‘Produce X 101’ mengeluarkan kenyataan bahawa wakil mereka akan menemui Jabatan Siasatan Jenayah Siber Polis Seoul Metropolitan untuk membantu siasatan. Tambahnya, “Saya berharap peminat bersimpati dengan X1 supaya mereka dapat hadapi hari-hari yang sukar ini dan menggapai impian mereka.” Rayuan itu dibuat pihak produksi Mnet selepas ditekan oleh netizen yang tidak berpuas hati dengan penjumlahan undi finalis yang dipaparkan sebelum ini.

Krew ‘Produce X 101’  juga mengakui kesilapan mereka dalam proses menjumlahkan dan menyampaikan undi, tetapi tetap mengambil keputusan untuk mengekalkan kedudukan ‘ranking’ finalis tersebut tanpa sebarang perubahan.

Walaupun X1 akan mengeluarkan album ‘Quantum Leap’ buat pertama kali pada 27 Ogos 2019 ini, namun dugaan dialami oleh mereka tampaknya lebih besar berbanding apa yang dihadapi oleh kumpulan ‘Wanna One’ dan ‘IZ*One’, juga keluaran oleh Mnet sebelum ini. Apapun, semoga X1 dapat debut tanpa kekangan dan boikot berterusan daripada segelintir netizen yang terkesan dengan isu manipulasi undian ini.

Sumber: chosun ilbo , money today

loading...