Tinggi, tampan, sentimental & berbadan sasa, ini mungkin calon menantu impian mak kamu!

Sedang penulis menonton drama lakonan Nam Joo Hyuk ‘The Bride of Habaek’ menerusi rangkaian tvN Asia cenel 395 yang bersiaran setiap hari Selasa , penulis terus mengingati pertemuan bersama pelakon berkenaan sekitar Mac lepas. Wajah tampan pelakon ini terus bermain-main di mata penulis. Jadi, dikesempatan ini, penulis kongsikan momen-momen bersama Nam Joo Hyuk sempena pertemuan peminat yang lepas. Agak lama penulis simpan rapi kisah ini dek kerana masalah yang tidak dapat dielakkan.

Nam Joo Hyuk, bukanlah satu nama yang baru dalam dunia KDrama. Aktor ini semakin menempa nama dan mempertaruhkan bakatnya kepada ramai sehingga beliau kini punya kelompok peminat tersendiri. Dengan pakej yang lengkap, siapapun pasti mudah jatuh hati padanya. Terbaru, Nam Joo Hyuk drama terbaru beliau “Dazzling” untuk siaran JTBC baru sahaja berakhir. Kali ini beliau bergandingan dengan Han Ji Min, Kim Hye Ja, Son Ho Jun dan ramai lagi.

Pada 23 Mac 2019 (Sabtu), bertempat di Plenary Hall, KLCC telah berlangsungnya 2019 Fanmeeting Nam Joo Hyuk <Current> in Kuala Lumpur. Ini merupakan kali kedua actor tersebut berkunjung ke Malaysia untuk bertemu dengan peminat tersayang selepas tahun 2017. Nampaknya, para peminat tidak melepaskan peluang untuk bertemu dengan actor pujaan mereka dan Nam Joo Hyuk juga tidak pernah melupakan Malaysia.

Penantian serta kerinduan para peminat terbayar apabila Nam Joo Hyuk muncul di atas pentas dengan mendendangkan lagu dari Lee Sung Yeol berjudul ‘Waiting’. Nyanyian beliau disambut dengan sorakan para peminat. Siapa sangka Nam Joo Hyuk memiliki range suara yang besar dan pemilihan lagu tersebut sememangnya menyerlahkan lagi kemampuan beliau untuk menyanyikan lagu-lagu berunsurkan balada. Yang pasti, penulis juga tergamam dengan kebolehan beliau untuk menyanyi.

Menyapa peminat dengan kata-kata “Apa Khabar” dan “Aku Cinta Padamu” sememangnya buat para peminatnya tidak keruan. Di awal majlis, Nam Joo Hyuk ingin para peminat menikmati momen-momen indah bersamanya.

Q & A – Peminat Tanya, Nam Joo Hyuk jawab

Acara kemudian diteruskan dengan sesi Q & A daripada peminat sebelum majlis berlangsung. Hana dari OneFM telah bertindak sebagai pengacara sepanjang majlis berlangsung.

MC :  Apakah kenangan yang Nam Joo Hyuk tidak boleh dilupakan semasa Fanmeeting di Malaysia pada tahun 2017?

NJH : Seperti yang saya katakan, segala memori yang indah akan segar dalam ingatan saya. Saya sukakan Malaysia kerana peminat saya di sini menunjukkan sokongan yang tidak berbelah bagi dan sentiasa buat saya teruja untuk kembali ke sini.

MC : Apakah projek terbaru Nam Joo Hyuk?

NJH : Saya telah menerima tawaran membintangi drama terbaru tayangan Netflix berjudul “School Nurse Ahn Eun Young”. Pengambaran akan dimulakan tidak lama lagi dan akan ditayangkan sekitar tahun hadapan. Saya pasti ia suatu projek yang menyeronokkan.

MC : Alamak, soalan ditulis dalam Bahasa Korea. Saya faham, tapi saya serahkan pada Nam Joo Hyuk.

NJH : Saya rasa yang menulis soalan ini pasti orang Korea. Soalannya berbunyi, dalam drama “Dazzling” momen apakah yang paling meninggalkan kesan mendalam?

*selepas ditanya, terbukti peminat yang bertanyakan soalan tersebut adalah rakyat Korea. NJH juga menyatakan tulisan peminat tersebut mirip tulisan tangannya sehinggakan beliau bercanda, adakah saya menulis sendiri soalan ini untuk diri saya? (disambut gelak tawa para peminat)

NJH : Adengan atau momen yang tidak boleh saya lupakan adalah di episode akhir iaitu episode 12. Biarpun saya bukanlah focus utama adengan itu, namun ia mengingatkan diri saya sendiri. Walaupun berhadapan dengan kesukaran atau kesedihan, kita harus menikmati setiap detik ini dengan sebaiknya kerana kehidupan perlu diteruskan.

MC : Apakah impian Nam Joo Hyuk dalam tempoh lima tahun yang mendatang? Apakah karakter yang ingin anda tampilkan?

NJH : Impian terbesar saya untuk membintangi projek-projek yang bagus, serta menjadi seorang pelakon dan manusia yang lebih baik dan matang. Banyak lagi karakter yang belum saya lakonankan, jadi saya ingin menyahut cabaran tersebut untuk membawakan watak yang berbeza.

Hari ini penampilan saya mirip watak Habaek, tapi saya ingin cuba lagi watak Baek Ah.

Segmen seterusnya  menayangkan klip pendek kompilasi lakonan Nam Joo Hyuk dalam drama-drama yang pernah dibintangi beliau. Antaranya “Cheese in The Trap”, “School 2015 : Who Are You”, “Moon Lovers : Scarlet Heart Ryeo”, “Weighlifting Fairy Kim Bok Joo” “The Bride of Habaek” dan “Dazzling”.

MC :  Jika beliau boleh memilih satu watak lakonannya, watak apakah yang begitu dekat dengannya dan kenapa?

NJH : Habaek, kerana hari ini saya terasa untuk memilih watak Habaek. Tidakkah kamu nampak, penampilan saya malam ini seperti Habaek?

MC : Karakter manakah yang ingin kamu lakonkan sekali lagi dan kenapa?

NJH : “Moon Lovers : Scarlet Heart Ryeo”. Disebabkan dengan adanya kamu semua, saya ingin cuba lakonkan semula watak Putera Wang Uk / Baek Ah.

MC : Apakah aktiviti Nam Joo Hyuk lakukan semasa bercuti?

NJH : Baiklah. Saya akan kongsikan aktiviti harian saya secara terperinci bersama kamu semua dan ini adalah pertama kali saya dedahkan. Setelah bangun pagi dan mandi, saya akan bersarapan. Kemudian, saya akan baring seketika untuk menunggu waktu makan tengah hari. Setelah makan tengah hari, saya terasa berehat, jadi saya tidur sebentar. Setelah bangun kembali, saya cuci muka dan bersedia untuk menikmati hidangan makan malam yang disediakan oleh ibu saya. Kemudian, saya mandi sekali lagi sebelum tidur. Inilah aktiviti saya kebelakangan ini, saya perlukan rehat dan tidur yang mencukupi untuk ‘recharge’ semula tenaga saya.

*Nam Joo Hyuk menegaskan, beliau tidak mengambil ‘supper’ (makanan lewat malam) kerana beliau ingin menjaga penampilan fizikalnya berikutan terikat dengan jadual kerja yang sibuk.

Nam Joo Hyuk, seorang lelaki yang berjiwa sentimental

Terdapat satu segmen yang dinamakan ‘Nam Joo Hyuk Playlist’ di mana actor tersebut berkongsi pilihan lagu kegemarannya. Majoriti lagu pilihannya berentak perlahan dan sentimental. Nam Joo Hyuk menyatakan, beliau ingin berkongsi lagu kegemarannya agar peminatnya boleh dengar bersama.

Ini membuktikan, beliau seorang yang romantis dan kadangkala Nam Joo Hyuk juga kelihatan seorang yang pemalu, saat peminat berulang kali menyatakan beliau tampan dan aku cinta padamu. Beliau juga acapkali mengucapkan terima kasih atas pujian yang diberikan. Nam Joo Hyuk juga menyatakan betapa terharunya beliau kerana mempunyai peminat yang menerima beliau seadanya, yang sentiasa memberikan sokongan dan dorongan serta menghamparkan kasih sayang yang tidak terhingga kepadanya. Beliau juga sempat membalas, “Aku cinta padamu”.

Sewaktu bait-bait lagu diperdengarkan kepada umum, Nam Joo Hyuk juga ikut menyanyi dan lagu tersebut sememangnya lagu kegemaran beliau. Berikut adalah lagu yang menjadi pilihan Nam Joo Hyuk.

  • Car The Garden – MyungDong Calling
  • Car The Garden – If You Raise Me Up
  • Yi Sung Yol – Soar (lagu yang sesuai didengar ketika hujan turun)
  • Shawn Mendes – There’s Nothing Holding Me Back (lagu yang menjadi pilihan sekiranya Nam Joo Hyuk ingin ubah angin)
  • Rachel Yamagata – Duet (lagu yang sesuai didengar ketika matahari terbenam)
  • Demian Rice – Delicate
  • Hareem – Where We Go (OST Dazzling in your eyes)
  • Oasis – Wonderwall (lagu yang sering dinyanyikan bersama actor Ji Soo)
Ji Soo merupakan rakan baik Nam Joo Hyuk. Beliau sempat berkongsi menyatakan Ji Soo  mengirimkan teks pesanan kepadanya “Do well in Malaysia”.

Nam Joo Hyuk kemudian memperdengarkan suaranya mendedangkan lagu “Where We Go” dengan penuh perasaan. Peminat seakan turut sama menikmati lagu tersebut.

Aktiviti bersama peminat bertuah

Sesiapa juga ingin menjadi yang bertuah untuk mengabadikan kenangan bersama pelakon pujaan ramai ini. Antara aktiviti yang dilakukan bersama peminat ketika sessi game show adalah, melakonkan kembali adengan dalam drama “Cheese In The Trap” dan “Moon Lovers : Scarlet Heart Ryeo” bersama dua peminat bertuah. Nam Joo Hyuk dilihat gementar untuk melakonkan babak pilihan kerana menurutnya, beliau cepat ‘nervous’.

Kemudian, Nam Joo Hyuk mengajak peminat untuk bermain permainan popular Korea iaitu ‘Kai Bai Bo’ (Rock, Paper, Scissors) atau di Malaysia lebih dikenali ‘One Two Som”. Kebanyakkan peminat kecewa apabila mereka tidak dapat meneruskan permainan sehingga ke akhirnya, kerana yang kalah terpaksa duduk semula ditempat masing-masing.

Akhir sekali, Nam Joo Hyuk menyediakan sendiri minuman cocktail kepada dua peminat yang bertuah. Saat ditanya MC, adakah Nam Joo Hyuk pandai dalam mengambil minuman alcohol, lantas beliau menjawab, dulu tidak, tapi sekarang bolehlah.

Kesemua peminat yang bertuah, berpeluang bergambar secara personal dengan Nam Joo Hyuk. Gambar mereka diabadikan dalam bentuk gambar polaroid.

Adakah Nam Joo Hyuk bakal kembali ke Malaysia lagi?

Masa berlalu dengan pantas dan tiba masanya Nam Joo Hyuk meninggalkan peminatnya. Sebelum mengakhiri acara, mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga kepada semua peminatnya. Memori hari ini (23.3.2019) akan sentiasa diingatinya. Nam Joo Hyuk menutup tirai majlis dengan menyanyikan sebuah lagu sentimental berjudul “This is the moment” nyanyian asal Jekyll and Hyde sebelum sessi High Touch dan ‘group photo’ bersama peminat yang bertuah. Apakah Nam Joo Hyuk bakal kembali ke Malaysia disuatu masa nanti, biarlah pihak penganjur yang tentukan.

Apapun, syabas serta jutaan terima kasih penulis ucapkan kepada pihak penganjur; Applewood dan GTS Marketing kerana telah merealisasikan kedatangan Nam Joo Hyuk ke Malaysia kali ini. Terima kasih juga kerana memberikan peluang kepada media KMania untuk turut serta dalam acara ini dan kami cukup bertuah apabila terpilih untuk sesi ‘High Touch’ bersama Nam Joo Hyuk.

Semoga akan lebih banyak lagi aktiviti seumpama ini akan dianjurkan oleh GTS Marketing dan kami ucapkan selamat maju jaya.

loading...